Home » 11,472 individu ditahan atas kesalahan dadah di Johor
Berita Dalam Negara Jenayah

11,472 individu ditahan atas kesalahan dadah di Johor

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan seramai 11,472 individu atas pelbagai kesalahan dadah menerusi Op Tapis yang dijalankan di seluruh negeri ini sepanjang tempoh 1 Jan hingga Rabu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata operasi ini dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri melibatkan kawasan panas atau ‘hotspot’ antaranya jeti-jeti nelayan, projek perumahan rakyat (PPR), ‘port’ penagih dan kawasan Felda.

Beliau berkata sepanjang operasi tersebut, seramai 23,973 individu telah diperiksa dengan 11,472 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.

“Daripada jumlah yang ditahan itu seramai 10,692 individu terdiri daripada lelaki dan 780 individu wanita berusia 13 hingga 70 tahun atas kes bekalan (2,240 orang), memiliki dadah (3,912) dan penagih dadah (5,320).

“Turut ditahan, 3,100 individu berstatus orang dikehendaki. Seramai 796 orang yang ditahan diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dalam pada itu, seramai 195 tokan dadah turut ditahan dalam tempoh sama iaitu peningkatan sebanyak 43.38 peratus berbanding 136 orang dalam tempoh sama, tahun lepas.

Katanya, penahanan ke atas tokan dadah itu dilakukan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 selain turut dikenakan perintah tahanan dan sekatan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak.

Tambahnya, tindakan itu dapat mengurangkan aktiviti penyalahgunaan dadah dengan mengeluarkan pengedar serta penagih dadah dari kelompok masyarakat melalui tindakan pemenjaraan untuk tempoh antara lima hingga tujuh tahun.

Beliau berkata dalam operasi yang dijalankan itu, sebanyak 2.94 tan dadah bernilai RM12.43 juta berjaya dirampas.

“Dadah yang dirampas terdiri daripada 62.22 kilogram (kg) heroin 118.87 kg, syabu (114.78kg), ketamin (18.42 kg), pil erimin 5 (54,084 biji).

“Turut dirampas pil yaba (3,974 biji), pil ekstasi (20,900 biji), serbuk ekstasi (35.17 kg), daun ketum (984.07kg), air ketum (16,743 liter), pil nospan (306 biji), serbuk dadah (267.30 kg) dan magic mushroom (18.18 kg) manakala harta sindiket dadah bernilai RM7.5 juta turut di rampas,” katanya.

— BERNAMA