Home » ‘Abang baby’ mengamuk di restoran didenda RM300
Berita Am Berita Dalam Negara

‘Abang baby’ mengamuk di restoran didenda RM300

SHAH ALAM: Seorang penganggur yang berang kerana tidak dipanggil dengan gelaran ‘abang’ dan ‘baby’ hari ini didenda RM300 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan mudarat awam di sebuah restoran di Subang Jaya, awal bulan ini.

Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Asri Abdullah, 50, dan memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh hari jika gagal membayar denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, bekas pemandu lori itu didakwa melakukan mudarat awam sehingga menyebabkan kegusaran kepada orang awam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Putra Heights, Subang Jaya pada jam 9 pagi, 4 Jun lalu.

Tertuduh mengamuk selepas berang tidak dipanggil dengan panggilan ‘abang’ atau ‘baby’ dengan membaling bungkusan nasi dan air Nescafe panas yang terkena anak lelaki pemilik restoran berkenaan.

Dia juga menendang meja, membaling kerusi, meludah dan mengatakan sesuatu dalam bahasa yang kurang difahami selain turut berkelakuan pelik.

Sebelum ini, klip video memaparkan suspek mengamuk secara tiba-tiba sehingga mencederakan seorang kanak-kanak tular di media sosial.

-astroawani