Home » Siasatan SPRM terhadap Dr M dilakukan secara bebas, berkecuali – Anwar
Berita Dalam Negara Politik

Siasatan SPRM terhadap Dr M dilakukan secara bebas, berkecuali – Anwar

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dilakukan sendiri agensi penguat kuasa itu secara bebas dan berkecuali.

Perdana Menteri berkata, badan penyiasat melaksanakan tugas berdasarkan fakta dan mengikut lunas undang-undang.

Tegas beliau, kes itu bukan pemasalahan yang harus dibangkitkan kepada beliau kerana tindakan SPRM itu dilaksanakan seperti termaktub dalam Akta SPRM.

“Tapi kita harus terikat dengan fakta dan undang-undang. Orang yang menganggap ini tuduhan bermotif politik perlu melihat kepada fakta dan bukan mengelirukan rakyat

“Kalau nyata siasatan ada terhadap kes berprofil tinggi dan alasan cukup kukuh untuk mendakwa, maka itu tugas SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

“Sepatutnya masyarakat termasuk ahli Dewan Negara memberi sokongan yang padu untuk usaha membersihkan negara dari penyakit rasuah ini,” katanya di Dewan Negara, semalam.

Perdana Menteri menjawab soalan Datuk Kesavadas A Achyuthan Nair yang ingin mengetahui sejauh manakah SPRM serius untuk menyiasat segala perilaku rasuah dan salah guna kuasa membabitkan bekas Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh.

Sabtu lalu, SPRM memberitahu akan meneliti unsur kesalahan rasuah berhubung dakwaan isu pemberian kontrak gentian optik RM214.2 juta kepada syarikat yang dikaitkan dengan Dr Mahathir.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan akan dijalankan sekiranya asas itu wujud mengikut kesalahan rasuah.

— TV3