TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar seramai 342 Pendatang Tanpa Izin (PTI) warga Indonesia pulang ke negara asal.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata penghantaran pulang kesemua PTI yang ditahan di Depot Imigresen di negeri ini dilaksanakan melalui Program Pemindahan Warganegara Indonesia dengan kerjasama Konsulat Jeneral Rebublik Indonesia.
“Pemindahan yang dijalankan dalam tempoh dua hari membabitkan 342 termasuk 252 tahanan lelaki, 62 tahanan perempuan, 16 kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan.
“Kesemua PTI dihantar pulang melalui Pelabuhan Tawau secara terus ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka Indonesia membabitkan kategori pemindahan menggunakan pengangkutan laut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata pemindahan hari pertama dilaksanakan pada 12 Oktober dengan hanya melibatkan tahanan PTI dari Depot Imigresen Tawau sahaja iaitu seramai 135 orang.
“Pemindahan bagi hari kedua pada 13 Oktober dengan jumlah tahanan seramai 207 orang iaitu melibatkan tahanan PTI yang merangkumi tiga Depot Imigresen Negeri Sabah termasuklah Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan.
“Proses pemindahan tahanan dilakukan dengan iringkawal masuk sehingga ke dalam Vessel (laut) Mid East Express 1 dan Malindo Express 2 yang selesai dilakukan pada jam 3.30 petang,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata kesemua PTI yang ditahan di Depot Imigresen melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pengusiran keluar dari negara.
“Oleh itu, semua warga asing adalah diingatkan untuk memastikan mereka sudah memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Negeri Sabah, Malaysia terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.
“Semua agensi penguatkuasaan di negeri ini akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.
Beliau menegaskan JIM Sabah akan terus komited dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan dan pengusiran PTI selepas melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara selain mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing.
Add Comment