Kota Kinabalu : Cadangan untuk mewujudkan Rumah Transit Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk golongan pelajar yang mencari kerja selepas tamat pengajian telah dipersetujui oleh kerajaan negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, cadangan itu akan dipanjangkan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) agar dapat diwujudkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sedang dalam pembinaan ketika ini.
“Kita banyak lagi PPR yang belum siap seperti di Inanam. Jadi sebagai permulaan, kita maklumkan kementerian supaya menyediakan 50 unit contohnya daripada 1,000 unit dikhaskan untuk rumah transit ini dengan bayaran minimum,” katanya.
Beliau memaklumkan perkara ini pada Majlis Perasmian dan Penutupan Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) pada malam khamis di sini .
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong.
Hajiji berkata, penyediaan rumah transit itu adalah antara cadangan yang dikemukakan peserta MPPS pada persidangan mereka kali ini.
Katanya, ia adalah bertujuan bagi meringankan beban graduan yang mencari kerja bagi mendapatkan rumah dengan kadar sewa yang rendah.
Terdahulu, Hajiji menekankan mengenai komitmen Kerajaan Negeri membangunkan modal insan sebagai antara perkara utama yang digariskan dalam pelan pembangunan Hala Tuju SMJ.
Katanya, pelbagai insentif diwujudkan bagi membantu dalam pembangunan sektor berkenaan termasuk bantuan tunai kepada pelajar kurang berkemampuan apabila melanjutkan pelajaran dengan peruntukan yang besar setiap tahun.
Beliau turut menyifatkan, program bersama pemimpin pelajar universiti dari Sabah sempena persidangan MPPS malam tadi sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan modal insan dalam hala tuju SMJ.
“Kita tidak boleh lari dalam modal insan ini kerana anak-anak kita inilah jadi pewaris kita pada masa akan datang. Kerana itulah tumpuan kerajaan kita membangunkan modal insan.
“Program ini adalah cara kita mengembangkan minda pelajar universiti Sabah dan ini kali kedua diadakan. Sepanjang bersidang tiga hari di sini, banyak usul dikemukakan.
“Saya lihat dan ambil perhatian serta tindakan mana-mana usul yang kita fikir perlu diutamakan kerana suara anak muda amat penting bagi Sabah. Kita bukan saja dengar suara dan pandangan badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan lain tapi suara golongan muda ini juga kita dengar dan beri keutamaan,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu membantu golongan anak muda bagi memastikan mereka mempunyai kepakaran dan kemahiran yang diperlukan di Sabah melalui pengajian yang diikuti di universiti.
— TAMAT
Add Comment