Home » Gagasan Rakyat Adakan Persidangan Agung Tahunan Pada 26 November – Nizam
Berita Tempatan Politik

Gagasan Rakyat Adakan Persidangan Agung Tahunan Pada 26 November – Nizam

Nizam berkata setakat ini, maklum balas rakyat terhadap Gagasan Rakyat amat menggalakkan dan lebih 300,000 keahlian telah didaftarkan di seluruh negeri.

KOTA KINABALU: Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipengerusikan oleh Presidennya Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada Jumaat telah menetapkan Persidangan Agung Tahunan 2023 parti itu akan diadakan pada 26 November ini.

Ketua Penerangannya Datuk Nizam Abu Bakar Titingan memaklumkan mesyuarat turut menetapkan Persidangan Agung Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat akan diadakan pada 25 November.

Beliau berkata pada masa sama, mesyuarat peringkat cawangan akan berlangsung dari 17 Julai hingga 31 Ogos manakala mesyuarat bahagian dari 25 September hingga 15 Oktober.

“Tiada pemilihan jawatan pada persidangan tahun ini. Semua 73 bahagian dan 4,976 cawangan Gagasan Rakyat telah dibentuk seluruh Sabah, semua sayap serta jawatankuasanya juga telah dibentuk,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu di Alamesra pada Jumaat.

Nizam berkata sambutan terhadap Gagasan Rakyat setakat ini amat menggalakkan dan semakin ramai yang memohon menyertai parti itu yang setakat ini mempunyai keahlian hampir 300,000 orang.

Beliau berkata mesyuarat hari ini turut membuat ketetapan menyokong penuh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, mesyuarat turut menggariskan pendirian Gagasan Rakyat terhadap beberapa ketetapan yang membabitkan kepentingan Sabah dan rakyat negeri ini.


Nizam berkata, antara ketetapan itu ialah menyokong segala usaha dan komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Plus dalam menangani masalah yang diwarisi daripada kerajaan lalu.


Katanya, ia termasuk masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya serta keperluan lain untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan Sabah yang lebih baik.

Gagasan Rakyat adalah sebuah parti kecil tempatan yang sudah bertapak kira-kira 10 tahun di Sabah sebelum dijenamakan semula melalui pengambilalihan kepemimpinannya oleh bekas pemimpin BERSATU Sabah pada Februari lalu.


Sejak itu, parti berkenaan menjadi komponen terbesar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut disertai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Kini Gagasan Rakyat mempunyai 26 Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah.

— EDITOR