Home » Kita mulakan dengan Zuraida, 10 lain menyusul – Saifuddin Nasution
Berita Dalam Negara Politik

Kita mulakan dengan Zuraida, 10 lain menyusul – Saifuddin Nasution

Menurut Saifuddin berdasarkan kes terhadap Zuraida yang diperintahkan membayar RM10 juta kepada parti, pihaknya yakin akan menang terhadap 10 yang lain.

KUALA LUMPUR – PKR akan mengambil tindakan undang-undang terhadap 10 bekas Ahli Parlimen yang keluar parti pada Februari 2020 untuk  mewujudkan blok bebas.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah susulan itu diambil berikutan kemenangan kes terhadap bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Zuraida Kamaruddin .

Menurut Saifuddin berdasarkan kes terhadap Zuraida yang diperintahkan membayar RM10 juta kepada parti, pihaknya yakin akan menang terhadap 10 yang lain.

“Kami mulakan dengan Zuraida. Kami menang. Langkah seterusnya ialah ke atas Ahli Parlimen Keadilan yang lain yang ikut keluar. Fakta kes sama. Insya-Allah peluang menang cerah!” kata Saifuddin.

Selain Zuraida 10 lagi Ahli Parlimen yang keluar parti adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Saifuddin Abdullah, Baru Bian, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Datuk Mansor Othman, Datuk Rashid Hasnon, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, Ali Biju, Willie Mongin dan Jonathan Yasin.

Tindakan 11 Ahli Parlimen terbabit antara faktor tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Saifuddin berkata, apa yang berlaku ke atas Zuraida menunjukkan pengkhianatan terhadap parti tidak sewajarnya dilakukan.

“Pengajarannya usah khianat. Gembiranya hanya sementara. Bukan sedikit penyokongnya sekarang mohon nak masuk parti semula. Maaf ya masuk parti bukan macam bersalin baju,” sindir beliau.

Zuraida diperintah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membayar RM10 juta kepada PKR kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman PKR itu selepas mendapati bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat.

Mahkamah juga memerintahkan Zuraida untuk membayar kos RM50,000.

Saman itu difailkan Saifuddin pada 28 September 2020 untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya dengan parti itu.

Kenyataan tuntutan PKR mengatakan bahawa Zuraida telah menandatangani bon RM10 juta berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan.

Khairulanuar Yahaya