PETALING JAYA: Pemimpin Umno membidas kritikan “pakatan korup” dilabelkan bekas setiausaha publisiti DAP Tony Pua terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN) yang boleh merobek keharmonian dalam kerajaan perpaduan.
Bercakap kepada FMT, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata Pua seharusnya sedar ekonomi negara melalui zaman gelap sepanjang Pakatan Harapan (PH) dan DAP mentadbir dalam tempoh 22 bulan selepas PRU14.
Menurutnya, Pua yang menjadi penasihat di atas kapasitinya sebagai setiausaha politik menteri kewangan Lim Guan Eng ketika itu, tidak mampu membantu memacu ekonomi menyebabkan kejatuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta nilai ringgit.
Kata Akmal, sebaliknya di bawah BN yang didakwa “korup”, ekonomi Malaysia pada kedudukan ke-23 paling kompetitif diiktiraf badan antarabangsa manakala KDNK naik sehingga RM1.4 trilion, pendapatan Khazanah Nasional Berhad menokok RM116 bilion dan rizab tunai Petronas meningkat dari RM30 bilion kepada RM174 bilion.
Malah kelancaran pentadbiran kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim kini disebabkan kemampuan dan pengalaman menteri dari BN, katanya.
“(Pua) Cermin dulu diri sendiri, beliau hanya tin kosong dan tidak beri manfaat kepada pembangunan negara,” katanya yang sebelum ini menggesa DAP memohon maaf secara terbuka di atas segala tohmahannya terhadap Umno sehingga mengguris hati ahlinya.
Akmal mengulas kenyataan Pua pada malam tadi yang melabel BN dan Umno sebagai “pakatan korup” selain Bersatu. Beliau turut berharap PH dapat membentuk kerajaan sendiri pada PRU akan datang.
Pada 14 Mei lalu, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata pihaknya akan menyokong kerajaan pimpinan Anwar selepas PRU16.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil pula mengingatkan Pua pemimpin kanan DAP seperti Lim juga berdepan pertuduhan berkaitan rasuah, justeru tidak layak baginya melabel Umno sebagai “parti korup”.
Katanya, Pua juga boleh mencadangkan kepada PH untuk berpisah dengan Umno dalam kerajaan perpaduan sekiranya merasakan parti itu “kotor”.
“Jika Umno ini korup dan kotor sangat, tidak perlu tunggu PRU16, sekarang pun boleh cadang kepada pemimpin parti kamu untuk tinggalkan Umno daripada kerajaan perpaduan.
“Saya tiada masalah jadi pembangkang dan jika tidak kerana titah Agong dahulu, Umno dan BN memang bersedia jadi pembangkang selepas PRU15 tempoh hari. Kamu sedia jadi pembangkang?,” kata Isham.
Add Comment