Home » 60 tahun kemerdekaan Sarawak bukan sekadar angka – Alexander Nanta
Berita Dalam Negara Politik

60 tahun kemerdekaan Sarawak bukan sekadar angka – Alexander Nanta

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sempat singgah merasai dabai di Pasar Tamu Kapit pagi ini sebelum menyempurnakan flag off Konvoi Kembara Sarawak Merdeka. Foto: Mohd Nur Khairuddin (TVS) & Nazwan (TVS).

KAPIT: Nikmat kemerdekaan 60 tahun yang dicapai Sarawak hari ini bukan sekadar angka tetapi hasil perjuangan dan kepayahan generasi terdahulu demi memerdekaan negeri ini, demikian menurut Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berpendapat erti kemerdekaan juga bukan hanya terbatas kepada bebas dari penjajah, malah merangkumi keupayaan setiap rakyat untuk keluar dari pemikiran lama.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sempat singgah merasai dabai di Pasar Tamu Kapit pagi ini sebelum menyempurnakan flag off Konvoi Kembara Sarawak Merdeka. Foto: Yazid Ibrahim (TVS).

“Erti sebenar kemerdekaan adalah apabila kita dapat memerdekaan diri, masyarakat dan negara dari terus dibelenggu isu kemiskinan, pendidikan, ekonomi, sosial dan pembangunan.

“Usaha memajukan diri dan negara tidak dapat direalisasikan sekiranya kita masih diperangkap dengan kotak pemikiran yang lama.

“Jasa dan sumbangan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu jangan dilupakan kerana mereka perintis kepada keamanan dan kesenangan yang kita nikmati hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Dewan Suarah Kapit malam tadi.

Ujarnya, kemerdekaan dan keamanan kini bergantung kepada generasi muda dalam memastikan negeri terus bergerak ke hadapan dari pelbagai sudut.

Di samping itu, Nanta turut menyentuh mengenai pembangunan di Kapit apabila penduduk di sini telah melihat sendiri perubahan dan perkembangan Kapit yang dibawa bagi memastikan keselesaan sosio-ekonomi penduduk di sini.

“Kalau dulu Kapit lebih dikenali sebagai sebuah pulau kerana tiada jalan raya untuk akses ke Kapit. Penduduk dan orang luar perlu menggunakan laluan sungai untuk keluar dan masuk ke Kapit.

“Namun, situasi ini menemui titik noktah pada tahun 2020 yang menyaksikan sempurnanya pembinaan jalan raya yang menghubungkan Kapit dan bandar lain.

“Selain jalan raya, banyak lagi pembinaan infrastruktur dan kemudahan lain telah dan sedang dilaksanakan di sini. Saya percaya Kapit boleh membangun setanding dengan bandar-bandar utama di Sarawak seperti Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu,” tambahnya.

Dalam pada itu, selain konvoi kembara beliau turut memuji pameran digital yang disediakan oleh penganjur kerana ia dilihat dapat memberikan maklumat dan informasi kepada rakyat di setiap bahagian tentang perjalanan 60 tahun kemerdekaan Sarawak.

Febbright James

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment