PENAMPANG: Lima tahun menerima banjir yang kadangkala hadir dua tiga kali setahun mengajar Jacob Majalap sekeluarga untuk sentiasa bersiap siaga dan memastikan barangan berharga disimpan baik di tempat yang selamat.
Bersedia menghadapi bencana alam bukannya satu aktiviti yang menyeronokkan. Ia sesuatu yang perlu dihindarkan sebanyak mungkin. Namun apakan daya, tinggal di Kampung Kolopis yang saban tahun dilanda banjir adalah takdir yang perlu diterima dengan penuh kesabaran.
Barang berharga yang rosak dan tidak sempat diselamatkan terpaksa dibuang dengan redha. Mangsa banjir yang sedia mempunyai kekangan kewangan akan semakin sempit kehidupannya dalam tempoh beberapa bulan kerana terpaksa mengeluarkan wang lebih untuk kecemasan.
Jacob, 54, bapa kepada tiga anak berkata, mereka sekeluarga sudah lali dengan banjir dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk keselamatan diri.
Namun, kini dia dan ratusan penduduk di Kolopis sudah bosan dengan banjir dan sikap kerajaan yang dilihat sebagai tidak bersungguh-sungguh menamatkan dilema mereka.
“Banyak keluarga di kampung ini risau setiap kali hujan turun. Walau hanya dua jam, air pasti naik dengan pantas. Keadaan tidak seperti ini 10 tahun yang lalu. Projek mega Pan Borneo adalah antara penyumbang berlakunya banjir lumpur di sini,” katanya ketika dihubungi Harian Ekspres.
Jacob adalah antara ribuan penduduk di Penampang yang terkesan dengan banjir besar berbahaya yang melanda pada awal minggu ini. Banjir sama turut dialami bulan lalu.
Penduduk Kolopis, katanya, menanggung banyak kerugian manakala tenaga pula banyak terbuang dengan kerja-kerja pembersihan rumah. Keadaan muka bumi juga tidak lagi indah seperti dahulu. Kini di sana-sini kelihatan tanah merah dengan infrastruktur awam yang rosak.
“Kerajaan melalui Pejabat Daerah harus mengambil serius untuk memantau bencana banjir yang sering berlaku di Kolopis ini dan bertindak pro aktif. Penduduk kampung menanggung kerugian besar dan sudah bosan dengan janji-janji kerajaan yang bersilih ganti untuk menyelesaikan banjir.
“Sedihlah macam ini. Janji demi janji ditabur namun tiada kemajuan. Malah keadaan banjir semakin teruk. Satu dua jam, terus air naik masuk rumah. Bulan lalu banjir, bulan ini pun banjir,” katanya.
Ketua Kampung Kolopis, Verus Niun berkata, sebulan lalu banjir lumpur melanda sebuah kampung kecil di Kolopis dengan paras setinggi 160sm.
“Banyak harta benda rosak. Peti sejuk dan mesin basuh pakaian dihanyutkan air.
“Kalaulah parit Pan Borneo dibina terlebih dahulu banjir seperti ini boleh dielak. Sudah setahun berlalu tetapi pengurusan Lebuhraya Pan Borneo belum membuat parit.
“Banjir beberapa hari yang lalu melanda lagi dan belum ada tindakan dibuat untuk meringankan beban penduduk di sini,” katanya dalam kenyataan dalam aplikasi WhatsApp.
Bermula September sehinggalah Mac depan, Penampang dan banyak lagi daerah lain di Sabah diramalkan berdepan masalah banjir besar.
Tiga hari yang lalu, hujan lebat selama beberapa jam di Penampang menyebabkan kira-kira 30 kampung di daerah ini dilanda banjir membabitkan 13,000 isi rumah.
Ketua Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Moyog Joseph Suleiman berkata, mereka akan mengenal pasti dan mengumpul data semua mangsa banjir dalam masa tiga dan lima hari bermula sekarang untuk tujuan penilaian.
Katanya, Presiden Star yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan ketika melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Kebudayaan di sini, berjanji untuk memberi bantuan kewangan kepada mangsa.
Joseph tidak menafikan antara punca mudah banjir di daerah ini ialah pembinaan projek mega Pan Borneo, penggondolan bukit dan pembangunan lain yang pesat seperti pembikinan pelbagai bangunan di sana sini.
Sektor perniagaan seperti pasar awam dan kedai-kedai di Pekan Donggongon turut terjejas setiap kali musim hujan di mana peniaga terpaksa menghentikan perniagaan.
Mereka juga menanggung kerugian setiap kali premis dan barangan perniagaan mengalami kerosakan.
Sebanyak 608 lokasi panas diramalkan banjir di Sabah yang sepanjang musim monsun timur laut atau tengkujuh yang bermula pada November hingga Mac depan.
Penampang adalah antara daerah yang paling parah dilanda banjir.
Add Comment