Home » MA63 tanggungjawab semua: Armizan
Berita Tempatan Politik

MA63 tanggungjawab semua: Armizan

Armizan berkata semua pihak baik masyarakat mahupun pemimpin di Sabah perlu bersatu dalam mengurus tuntutan MA63 tanpa mengira latar belakang politik kerana MA63 merupakan tuntutan bersama untuk kepentingan rakyat.

KOTA KINABALU: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia bukan sahaja di Sabah dan Sarawak sahaja.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Perjanjian MA63 bukan hanya relevan untuk masyarakat di Sabah atau Sarawak sahaja, tetapi untuk semua masyarakat Malaysia.


“Kerana hakikatnya, MA63 adalah perjanjian yang memberi tanggungjawab kepada semua pihak yang terlibat termasuklah Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia di bawah MA63,” katanya kepada media selepas Sesi Interaksi Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) bersama YB Datuk Armizan Mohd Ali, di sini.


Beliau turut berharap setiap maklumat yang diberikan mestilah tepat agar masyarakat memahami tindakan yang dilakukan oleh kerajaan.


“Selain memberi kefahaman mengenai MA63, program sebegini juga penting untuk memastikan masyarakat kita tidak dikelirukan dengan kenyataan dan tindakan yang cuba untuk memberikan fakta yang salah berkenaan MA63.


“Termasuklah ada kecenderungan pihak tertentu yang menjadikan MA63 ini sebagai modal untuk kepentingan diri ataupun kepentingan sempit politik kepartian.


“Jadi, dengan memberi pendedahan dan kefahaman mereka akan mengetahui kedudukan sebenar MA63, adalah untuk memastikan sebagai masyarakat Sabah dan Sarawak, kita membuat tuntutan dan syor kepada kerajaan Persekutuan perlulah berasaskan kepada fakta yang tepat.


“Memberikan maklumat yang silap ataupun separuh benar ataupun tindakan cuba menggelapkan rekod dan sejarah sebagai asas tuntutan kita kepada kerajaan Persekutuan, sebenarnya tidak memberikan manfaat kepada kita kerana hujah dan asas tuntutan kita perlukan sandaran kepada fakta yang jelas dan tepat.


“Jadi saya mengharapkan masyarakat kita memahami tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dan kita mengharapkan semua pihak yang ada di Sabah ini bertanggungjawab untuk kita memberikan maklumat yang tepat kepada masyarakat berkenaan tuntutan kita,” katanya.


Katanya, semua pihak baik masyarakat mahupun pemimpin di Sabah perlu bersatu dalam mengurus tuntutan MA63 tanpa mengira latar belakang politik kerana MA63 merupakan tuntutan bersama untuk kepentingan rakyat.

— EDITOR