Home » Pelajar tahfiz yang hilang ditemukan lemah, azan dilaung sebelum kerja mencari
Berita Am Berita Dalam Negara

Pelajar tahfiz yang hilang ditemukan lemah, azan dilaung sebelum kerja mencari

Pasukan SAR melaungkan azan sebelum menemukan seorang pelajar tahfiz berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang di kawasan kebun getah di Kampung Tanjung Sejarah, Kampung Tawai, Gerik. – Gambar ihsan JBPM

GERIK: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melaungkan azan sebelum menemukan seorang pelajar tahfiz berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang di kawasan kebun getah di Kampung Tanjung Sejarah, Kampung Tawai, di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa, Muhammad Naufal Adzimi Mohd Harris ditemukan selamat, namun, dalam keadaan lemah pada jam 10.49 pagi tadi oleh Unit Pengesan K9 dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Pasukan operasi mencari dan menyelamat pagi ini dipecahkan kepada lapan kumpulan dan gerak kerja dimulakan dengan membuat laungan azan oleh Pegawai Operasi PKpgB Hasna Rashid.

“Setiap kumpulan disertai oleh pelbagai agensi seperti bomba, polis, PGA dan orang awam.

“Mangsa ditemui selamat dalam jarak lebih kurang 2 kilometer dari lokasi kenderaan mangsa ditemui.

“Pencarian telah pun dibuat di lokasi tersebut sebelum ini, namun mungkin mangsa bergerak ke tempat lain menyebabkan dia tidak ditemui pasukan penyelamat.

“Usaha membawa mangsa keluar dilakukan menggunakan kenderaan kerana saiz tubuh mangsa yang agak besar,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan seorang remaja lelaki yang dipercayai mengalami kecelaruan minda dari Kampung Tanjung Sejarah, dekat sini, dikhuatiri hilang sejak Rabu lalu.

Sabarodzi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan itu pada jam 1.33 pagi.

Katanya, kali terakhir mangsa dilihat di sekitar Kampung Ulu Kenderong, Jalan Air Bertam dan keluarga remaja berkenaan mencari mangsa dan menjumpai motosikal yang dibawanya di dalam kebun getah.

AWANI