Home » PRU15: PBS guna logo GRS
Berita Tempatan Politik

PRU15: PBS guna logo GRS

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) memutuskan untuk bertanding di bawah logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Langkah itu dibuat atas semangat solidariti.

Menurut Utusan Malaysia, Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, penggunaan logo GRS telah diputuskan dalam kalangan parti-parti komponen GRS.

“Demi perpaduan dan solidariti, kita akan menggunakan logo GRS. Tiada masalah jika kita menggunakan logo tersebut.

“Namun, kita masih akan menggunakan bendera (PBS) apabila turun ke kawasan,” katanya selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PBS hari ini.

Penyandang kerusi Parlimen Kota Marudu itu berkata, segala keputusan yang dibuat adalah atas semangat solidariti.

Dr. Maximus berkata, sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri, parti itu akan bergerak di bawah payung GRS.

Mengulas lanjut katanya, calon-calon PBS masih belum diputuskan kerana GRS perlu berunding bersama Barisan Nasional dalam isu agihan kerusi.

Jelas beliau, agihan kerusi belum diputuskan kerana Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan GRS mempunyai hasrat sendiri untuk bertanding di kerusi Parlimen yang diinginkan. 

UM