Home » STAR sedia letak ramai calon wanita, belia pada PRN-17 – Jeffrey
Berita Tempatan Politik

STAR sedia letak ramai calon wanita, belia pada PRN-17 – Jeffrey

Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden STAR Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, STAR perlu mempersiapkan calon-calon pelapis bagi meremajakan parti kerana pemimpin lama akan bersara dan pemimpin baharu perlu ditampilkan.

PENAMPANG: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah bersedia meletakkan lebih ramai calon wanita, belia serta remaja untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden STAR Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan bagaimanapun, menegaskan parti itu hanya akan meletak calon kategori tersebut yang benar-benar bersedia.

“Parti kita (STAR) terbuka untuk memenuhi permintaan golongan berkenaan…mereka harus mempersiapkan kemampuan agar lebih ramai calon yang dapat ditampilkan parti,” katanya.

Jeffrey berkata demikian sebagai maklum balas suara akar umbi Wiramuda, Wiranita dan Wiramaja di Konvensyen Nasional Star Sabah dan Sambutan Ulang Tahun Ke-7 di sini baru-baru ini.

Jeffrey berkata, STAR perlu mempersiapkan calon-calon pelapis bagi meremajakan parti kerana pemimpin lama akan bersara dan pemimpin baharu perlu ditampilkan.

Menurutnya, untuk memperkasakan parti, para pemimpin parti itu seharusnya tidak mengharapkan parti lain atau pemimpin parti sekutu melakukannya untuk STAR.

“Kita kena buat sendiri,” katanya yang Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan.