Home » HAWA fokus tujuh bidang bantu kerajaan
Berita Tempatan Politik

HAWA fokus tujuh bidang bantu kerajaan

BERSEMANGAT: Shahrizat (tengah) bergambar dengan sebahagian pemimpin HAWA dan wanita Sabah yang hadir pada majlis santai itu.

KOTA KINABALU: Seiring usaha membantu kerajaan dalam perjuangan membela nasib rakyat, tujuh bidang menjadi fokus Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) untuk dilaksanakan.

Ia termasuk berkaitan hak, ekonomi, penjagaan kesihatan, kelestarian, teknologi serta pembangunan wanita desa dan modal insan.

Pengerusi HAWA, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata program yang dilaksanakan pihaknya akan menjurus kepada tujuh bidang keutamaan itu.

Katanya, program akan dijayakan bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan akan ditetapkan prosedur operasi standard (SOP) untuk dipatuhi.

 Rahmahjan ketika berucap mengalu-alukan kehadiran Shahrizat dan rombongan HAWA.
HAWA: Rahmahjan ketika berucap mengalu-alukan kehadiran Shahrizat dan rombongan HAWA.

Sehubungan itu, katanya, HAWA akan bergerak melaksanakan program bersama NGO di pelbagai peringkat bagi memastikan perjuangan dan matlamat penubuhan HAWA menjadi realiti.

“HAWA ditubuhkan untuk menjadi penghubung dengan rakyat, maka peranan NGO penting untuk dilibatkan kerana mereka lebih mengetahui dan memahami keperluan di peringkat bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Santai Bersama HAWA di sini malam semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi HAWA, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Pengerusi HAWA Sabah Hajah Aminah Johan, Ketua Wanita BN Sabah Senator Datuk Noraini Idris dan Timbalan Pengerusi Penjanaan Ekonomi HAWA Kebangsaan Datuk Rahmajan Sulaiman Khan selaku pengerusi hos dan pengerusi penganjur.

Shahrizat berkata `HAWA Hak’ adalah antara fokus yang diperjuangkan di mana isu-isu berkaitan rakyat dikutip dan diperjuangkan untuk diberi perhatian oleh kerajaan.

“Begitu juga isu ekonomi, ini penting di mana kita akan buat program dan cadangan kepada kerajaan untuk melebarkan peluang kepada golongan wanita.

“Sementara aspek kesihatan juga diutamakan kerana jika kita ingin maju, wanita mesti sihat,” katanya.

 Shahrizat berucap memberi penghargaan kepada Sabah atas sambutan luar biasa terhadap HAWA.
SABAH TERBAIK: Shahrizat berucap memberi penghargaan kepada Sabah atas sambutan luar biasa terhadap HAWA.

Beliau berkata HAWA turut memfokuskan pewujudan kerjasama pintar yang melangkaui sempadan politik kepartian.

Shahrizat berkata halatuju HAWA bakal ditentu ukur berdasarkan realiti kehidupan rakyat dan maklum balas sebenar dari pelbagai pihak.

Sementara itu, Shahrizat berkata Sabah menjadi perintis program santai HAWA dan berbangga dengan sokongan serta sambutan luar biasa pemimpin setempat.

“Saya harap kehadiran kami di Sabah akan menjadi penanda aras untuk program yang dilaksanakan di seluruh negara nanti,” katanya, sambil menjelaskan bahawa konsep pelaksanaan program adalah secara berfokus.

Menurutnya, Sabah mempunyai potensi tersendiri untuk digilap dan ia akan dijayakan bersama NGO tempatan.

Katanya, dalam pelaksanaan program HAWA akan ada Indeks Prestasi Utama (KPI) ditetapkan dan bersifat lebih profesional.

Sementara itu, Rahmahjan dalam ucapannya menghargai kehadiran Shahrizat dalam program berkenaan dan menyifatkannya sebagai pencetus semangat untuk meneruskan perjuangan membela nasib rakyat.

Selaku hos dan pengerusi penganjur program, beliau turut menghadiri sokongan dan kehadiran pemimpin wanita Sabah dalam menjayakan majlis berkenaan.

 Shahrizat (tiga kiri), Rosnah (tiga kanan), Rahmahjan (kiri) dan Aminah (dua kiri) bergambar sempena majlis itu.
ALBUM: Shahrizat (tiga kiri), Rosnah (tiga kanan), Rahmahjan (kiri) dan Aminah (dua kiri) bergambar sempena majlis itu.

“Saya sungguh berasa gembira dan senang hati, kerana di sekeliling saya, hadirnya rakan-rakan yang sentiasa bersama-sama saya walau dalam apa situasi sekalipun, sejak dahulu sampai sekarang.

“Saya berharap sungguh agar kita semua memanfaatkan ruang masa dan peluang kebersamaan ini, untuk memperkukuhkan lagi jalinan silaturahim yang sedia terjalin selama ini,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment