Home » Armizan tiada masalah debat bersemuka dengan Azis
Berita Tempatan Politik

Armizan tiada masalah debat bersemuka dengan Azis

Armizan berkata, ada pihak mempertikaikan tindakannya untuk berdebat secara bersemuka yang dianggap seperti 'melayan' permintaan pihak berkenaan.

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali tidak melihat sebarang masalah untuk mengadakan debat secara bersemuka bagi memperjelaskan kepada umum mengenai isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, tindakan Ketua Penerangan Parti Warisan (WARISAN) Datuk Mohd Azis Jamman yang mencabarnya untuk berdebat secara bersemuka adalah berdasarkan saranan beliau sendiri.

“Saya tiada masalah sebab saya yang cadangkan kalau mahu berdebat biarlah secara bersemuka sebagai alternatif kepada cadangan mereka untuk masing-masing membuat ‘live’ (siaran langsung).

“Kalau saya mahu terangkan melalui ‘live’ tidak kisah, tapi kenapa tidak berdebat? kalau dia cakap, saya boleh jawab terus dan orang boleh tengok dan dapat nilai apa fakta sebenar,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Armizan berkata, ada pihak mempertikaikan tindakannya untuk berdebat secara bersemuka yang dianggap seperti ‘melayan’ permintaan pihak berkenaan.

Bagaimanapun beliau menegaskan tindakannya itu penting memandangkan ada fakta yang dikongsikan pihak terbabit boleh mengelirukan umum.

“Bagi saya, kenapa perlu layan sebab fakta-fakta itu mengelirukan dan berkait rapat dengan tanggungjawab saya. Paling dahsyat nama saya dipetik, justeru saya perlu respon.

“Kalau tidak respon seolah-olah saya cuba menyembunyikan perkara-perkara tertentu sehingga disebut saya tidak main peranan…saya tidur dan tidak memperjuangkan hak.

“Saya tiada masalah, asalkan kita dapat memastikan debat itu berlangsung dalam suasana harmoni, adil dan memberi ruang yang sebaik-baiknya kepada pihak yang terlibat untuk mengemukakan hujah masing-masing,” jelasnya.

Beliau juga tidak menujukan cadangan berdebat secara bersemuka itu khusus kepada Azis sahaja, tetapi kepada mana-mana pemimpin WARISAN.

Katanya, debat berkenaan juga bukan berkaitan siapa menang atau kalah, tetapi ia persoalan dalam memberikan fakta yang sebenar kepada rakyat Sabah.

“Ini persoalan untuk mengetahui kedudukan yang sebenar supaya rakyat Sabah mempunyai kefahaman bersandarkan kepada fakta yang jelas, tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

“Ini kerana kita mahu memperjuangkan hak dan kepentingannya (MA63) dan kita perlu berdiri atas landasan dan fakta yang tepat.

“Bagaimana kita mahu berdebat dengan orang lain jika kita punya landasan dan suara tidak bersandarkan kepada fakta dan perundangan yang jelas bagi memenuhi tuntutan kita, itu paling penting,” jelasnya.

Dalam pada itu, Armizan terus berpegang kepada semangat Kerajaan Perpaduan dengan menghormati pemimpin-pemimpin terutama dari Sabah yang sama-sama dalam Kerajaan Perpaduan dalam memperjelaskan sebarang isu berkaitan MA63 di Parlimen.

Selain itu katanya, sebarang dokumen tertentu adalah sulit dan rahsia. Kerajaan mempunyai alasan mengkategorikan dokumen berkenaan sebagai sulit dan rahsia.

Namun jelasnya, isu yang dibangkitkan sekarang, ada perkara-perkara yang cuba disebutkan pihak berkenaan mengelirukan dengan menyentuh dokumen berkaitan.

“Itulah sebabnya saya cadangkan ada dokumen yang perlu dinyahklasifikasikan atau diturun taraf. Bagi saya terpulang kerana yang menentukan sama ada perlu atau tidak diturun taraf ini adalah kerajaan dan agensi-agensi berkenaan.

“Paling penting bagi saya semua kena bertanggungjawab tentang apa yang kita perjuangkan. Saya menjadi urus setia memegang amanah rakyat Sabah berkait dengan usaha kita supaya lebih banyak perkara berbangkit dalam MA63 dilaksanakan.

“Perjuangan ini bukan perjuangan saya seorang, perjuangan ini adalah perjuangan yang kita warisi berpuluh tahun daripada pimpinan Sabah dan rakyat Sabah,” katanya.

— Siti Aisyah Narudin