Home » Serangan terhadap Armizan, Azis seperti ingin ‘sabotaj’ kerajaan perpaduan
Berita Tempatan Politik

Serangan terhadap Armizan, Azis seperti ingin ‘sabotaj’ kerajaan perpaduan

Seorang pemimpin PKR mahu Ketua Penerangan Warisan Azis Jamman menerangkan dasar kerajaan perpaduan, bukannya menyerang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Ali.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR mendakwa serangan berterusan terhadap Armizan Ali oleh Ketua Penerangan Warisan Azis Jamman seperti “cubaan” mensabotaj kerajaan perpaduan.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin, berkata Azis seolah-olah mahu melepaskan kemarahan kerana tumpas pada PRU15, selain “tidak senang” melihat kejayaan kerajaan Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Armizan Mohd Ali

Katanya, Azis sepatutnya membantu menyampaikan dasar kerajaan apatah lagi beliau mempunyai banyak masa terluang selepas tidak lagi menjadi Ahli Parlimen.

“Saya melihat serangan demi serangan dilakukan kepada Armizan dan ianya dilihat seperti sebuah serangan terancang yang sengaja ditujukan ke atas Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya dalam kenyataan.

Semalam, menurut Utusan Borneo, Armizan yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal Sabah, Sarawak dan tugas-tugas khas), bersedia mengadakan debat terbuka dengan Azis mengenai isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.

Katanya, beliau sedia berbuat demikian memandangkan ada “fakta” yang dikongsikan “pihak terbabit” boleh mengelirukan umum.

Razeef ketika mengulas lanjut, bagaimanapun yakin serangan dibuat bukanlah atas arahan pimpinan tertinggi Warisan.

— FMT