Home » Hajiji serah 344 geran tanah kepada penduduk dari 34 Kampung
Berita Tempatan Politik

Hajiji serah 344 geran tanah kepada penduduk dari 34 Kampung

TERBAIK: Hajiji (belakang, empat kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan bersama wakil penduduk kampung yang menerima geran tanah pada majlis berkenaan.

SUKAU: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Tanah dan Ukur Negeri menyerahkan sebanyak 344 Geran Tanah Anak Negeri kepada penduduk tempatan dari 34 kampung di kawasan Sukau.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyerahkan geran-geran tanah itu melibatkan jumlah keluasan sebanyak 722.5 hektar (1,785.4 ekar) pada Majlis Himpunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sukau/Lamag di sini pada Sabtu.

Antara kampung-kampung terlibat ialah Kampung Sukau sebanyak 26 geran tanah, Kg. Sg Teneggang (49 geran tanah), Kg. Bukit Garam (24 geran tanah), Kg. Sg Takala (22 geran tanah), Kg. Usaha Jaya (51 geran tanah) dan Kg. Sinar Jaya (30 geran tanah).

Daripada 344 geran tanah itu, sebanyak 141 adalah geran tanah hasil daripada Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) dan 203 geran dari proses permohonan tanah biasa.

Sementara itu, Hajiji turut menyerahkan Warta Tanah Rizab Kediaman Anak Negeri Kampung Litang, Sukau seluas 82.3 hektar (203.4 ekar) daripada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew kepada Pegawai Daerah Kinabatangan, Abdul Manap Abd.Ruhim.

Bercakap kepada pemberita, Hajiji berkata kira-kira 8,000 geran tanah telah tersedia dan penyerahannya kepada rakyat akan dilakukan oleh beliau semasa lawatan ke daerah-daerah dan oleh Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan.

— TAMAT