Home » Pesta Kaamatan landasan pupuk perpaduan rakyat – Jonathan
Berita Tempatan Politik

Pesta Kaamatan landasan pupuk perpaduan rakyat – Jonathan

Jonathan menyeru kepada rakyat agar sentiasa bermuafakat dan menjadikan perayaan seperti Pesta Kaamatan, Krismas, Tahun Baru Cina, Hari Raya, Depavali dan sebagainya bagi mengeratkan perpaduan.

RANAU: Penduduk di daerah ini diminta menjadikan sambutan Pesta Kaamatan sebagai landasan memupuk perpaduan dan keharmonian tanpa dihalangi perbezaan kaum, agama dan fahaman politik.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, perpaduan tidak boleh dibiarkan terputus disebabkan perbezaan kaum, agama dan politik.

Katanya, rakyat perlu sentiasa bermuafakat dan menjadikan perayaan seperti Pesta Kaamatan, Krismas, Tahun Baru Cina, Hari Raya, Depavali dan sebagainya bagi mengeratkan perpaduan.

“Sambutan Pesta Kaamatan perlu diteruskan di daerah ini kerana selain mensyukuri hasil tuaian padi setiap tahun, ia juga platform penyatuan masyarakat.

“Ia juga dapat memperkenalkan budaya kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) di Sabah kepada pelancong luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan peringkat Kampung Tibabar, di sini, baru-baru ini.

Jonathan memuji kepimpinan Kampung Tibabar kerana berjaya menganjurkan majlis ini walaupun bulan Mei sudah berlalu.

“Saya berharap kaum KDMR terus mengekalkan identiti sendiri seperti pakaian, tarian, makanan dan alat kesenian tradisional mereka supaya tidak luput ditelan zaman,” katanya.

— Hamzah Sanudin