Home » Program Tuisyen Rakyat bantu pelajar di Parlimen Kalabakan
Berita Tempatan Politik

Program Tuisyen Rakyat bantu pelajar di Parlimen Kalabakan

Andi berkata program ini sekali gus dapat meringankan beban ibu bapa kerana mereka tidak perlu menghantar anak-anak ke pusat tuisyen berbayar lagi.

KALABAKAN: Pejabat Parlimen Kalabakan mengambil inisiatif mewujudkan Program Tuisyen Rakyat bagi membantu pelajar kurang berkemampuan mendapatkan akses pendidikan tambahan di daerah ini.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, program julung kali itu dilaksanakan bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir mendapat pendidikan tambahan selain di sekolah.

Katanya, sebagai pemimpin tempatan perlunya mengambil peranan ini dalam melahirkan modal insan yang dapat menyumbang bakti kepada negara dan daerah ini pada masa akan datang.

“Kita akan mulakannya pada tahun ini dan bekerjasama dengan sekolah-sekolah yang sudah dikenal pasti di sekitar Parlimen Kalabakan.

“Sasaran program ini adalah pelajar yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya mereka lebih bersedia dan diberikan bimbingan tambahan,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawan berkata demikian dalam Majlis Apresiasi Pelajar Parlimen Kalabakan, di sini hari ini.

Menurutnya, program ini sekali gus dapat meringankan beban ibu bapa kerana mereka tidak perlu menghantar anak-anak ke pusat tuisyen berbayar lagi.

“Sebagai permulaan program ini, kita akan memilih seramai 50 orang pelajar dalam kalangan keluarga B40 dan kurang berkemampuan.

“Jumlahnya akan ditingkatkan mengikut kesesuaian dengan keadaan dan sudah pasti ia dapat memberi manfaat kepada ramai pelajar terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.

Suryady berharap dengan adanya program ini, ia dapat melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang di daerah Kalabakan setiap tahun.

Mengulas mengenai majlis ini, katanya, ia adalah agenda tahunan yang dilaksanakan setiap tahun sebagai keprihatinan pemimpin dalam menghargai pelajar cemerlang.

Katanya, seramai 40 orang pelajar cemerlang SPM tahun lalu daripada enam buah sekolah menerima penghargaan kali ini.

“Saya optimis bahawa pemimpin juga perlu turut serta memberikan pengiktirafan kepada pelajar cemerlang agar menjadi dorongan kepada pelajar yang lain.

“Harapan saya supaya setiap pelajar cemerlang boleh membawa nama Kalabakan dan Tawau ke arah yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Batu, Saharudin Salleh dan Pegawai Daerah Kalabakan, Muhammad Haji Mohd Ali.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment