Home » Gagasan Rakyat landasan baharu politik Sabah: Yusof
Berita Tempatan Politik

Gagasan Rakyat landasan baharu politik Sabah: Yusof

ALBUM: Yusof bersama kepimpinan Gagasan Rakyat Sindumin mengabdikan kenangan bersama Hajiji di majlis itu.

SUKAU: Sambutan luar biasa perhimpunan rakyat dan pelancaran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sukau dan Lamag memberi petanda jelas bahawa parti itu semakin mendapat sokongan daripada akar umbi.

Ketua Penaja Gagasan Rakyat Bahagian Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, perhimpunan itu merupakan salah satu mesej rakyat yang mahukan pembaharuan dalam dalam landskap politik Sabah.


“Kita ingin menzahirkan sokongan terhadap bahagian Gagasan Rakyat Sukau serta Lamag, dan rakyat Sabah perlu sedar bahawa Gagasan Rakyat yang merupakan sebuah parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah salah satu landasan baharu yang akan menukar landskap politik dan pembangunan negeri Sabah.


“Kita telah sampai ke satu persimpangan atau usaha baharu dalam landskap politik Sabah maka kita berharap parti akan terus bertahan kerana ini merupakan satu formula yang boleh kita gunakan untuk memacu dan mempercepatkan pertumbuhan pembangunan negeri Sabah.


“Kita kena melihat negeri jiran kita iaitu Sarawak mempunyai asas yang lebih kurang sama, ” kata Yusof ketika ditemui semasa menghadiri Pelancaran Gagasan Rakyat Bahagian Sukau dan Lamag, baru-baru ini.

Turut hadir, Naib Ketua Bahagian Mohd Kassim Ali Yusop; Setiausaha Bahagian Alfred Danil; Ketua Penerangan Bahagian Helmy Saidin; Ketua Pergerakan Pemuda Walter Antahar; Exco Pemuda Gagasan Rakyat Pusat Zulhuzaimi Hassan dan beberapa AJK Bahagian dan AJK sayap Wanita Pemuda dan Beliawanis.


Dalam pada itu, Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkata, kehadiran Gagasan Rakyat Sindumin ke majlis pelancaran itu adalah bagi menyatakan sokongan terhadap bahagian-bahagian parti itu sekaligus mengeratkan silaturahim antara pimpinan.


“Gagasan Rakyat Sukau dan Lamag merupakan antara bahagian yang terawal mengadakan perhimpunan dan pelancaran, maka kita membuktikan sokongan dengan menghadirinya.


“Dengan adanya sokongan, kesepakatan dan hubungan yang erat antara satu bahagian dengan yang lain ia juga dapat mengakrabkan pemimpin-pemimpin Gagasan Rakyat seluruh Sabah termasuk bahagian serta sayap-sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis, ” katanya.


Tambah Yusof, adalah penting bagi pimpinan bahagian yang lain hadir pada majlis itu kerana ia dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk mendengar amanat terkini dari pemimpin-pemimpin setempat termasuklah ucapan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.


“Kita boleh sahaja mendengar melalui laman sosial seperti Facebook, Youtube atau platform MedSos yang lain, tetapi ia tidak akan sama kerana apabila kita hadir, kita dapat mengikuti program keseluruhannya dan pastinya suasananya juga berbeza, ” katanya.

— TAMAT