Home » Kelab Rotary Tawau bantu pelajar luar bandar kuasai Bahasa Inggeris
Berita Tempatan Politik

Kelab Rotary Tawau bantu pelajar luar bandar kuasai Bahasa Inggeris

RASMI: Vivian ketika merasmikan program REAL baru-baru ini.

TAWAU: Kelab Rotary Tawau menganjurkan program ‘Rural focus – English for All’ (REAL) bagi membantu pelajar luar bandar menguasai Bahasa Inggeris.

Presiden Kelab Rotary Tawau Vivian Thien berkata, program ini bertujuan untuk menangani jurang kemahiran Bahasa Inggeris antara sekolah di bandar dan luar bandar.

Katanya, lima buah sekolah di Tawau dan Semporna dipilih dalam program ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Melodi, SK Brantian, SK Perdana, SRJK (C) Kuok Ming, SRJK (C) Sin San dan SK Kalumpang.

“Program ini adalah kerjasama antara Kelab Rotary Tawau bersama Kelab Rotary Kota Kinabalu Pearl, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau dan PPD Semporna.

“Program REAL yang julung kali diadakan ini mendapat tajaan daripada Gereja Yesus Kristus,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, sebuah memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Kelab Rotary Tawau, JPN, PPD Tawau, PPD Semporna dan semua sekolah yang terlibat.

Vivian berkata, program REAL menumpukan kepada pemerkasaan dalam kemahiran Bahasa Inggeris dengan melaksanakan kaedah pengajaran yang inovatif dan aktiviti menarik.

“Program ini bertujuan menyediakan pelajar dengan alat dan sumber yang diperlukan untuk membantu mereka belajar secara efektif khususnya dalam subjek Bahasa Inggeris.

“Semua sekolah yang menyertai program ini akan menerima kamus, buku cerita, projektor LED dengan skrin, rak buku dan kerusi,” katanya.

Katanya, REAL adalah salah satu kategori daripada tujuh bidang tumpuan dalam Rotary International iaitu memperkasa Pendidikan.

“Kelab Rotary Tawau berharap setiap pelajar mempunyai peluang pendidikan yang lengkap tanpa mengira lokasi tempat tinggal mereka,” katanya.

Turut hadir, Presiden Kelab Rotary KK Pearl Datuk Hjh Aminah; Penolong Gabenor Kumpulan 15 Daerah Rotary 3310 Dato’ Jimmy Pang dan wakil JPN Sabah, Haji Ikhbal.

— Hamzah Sanudin