Home » Syor benar pecat, dakwa PM dibahas – Wan Junaidi
Berita Dalam Negara Politik

Syor benar pecat, dakwa PM dibahas – Wan Junaidi

Wan Junaidi ketika berucap pada forum bertajuk 'Kestabilan Politik dalam Parlimen Tergantung' pada Selasa.

PETALING JAYA – Satu peraturan Dewan Rakyat perlu digubal untuk membenarkan usul mendakwa dan memecat Perdana Menteri boleh dibahaskan ahli Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafarberkata, perkara tersebut akan dibincangkan bersama Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat bagi membolehkan peraturan berkenaan diteliti.

“Negara seperti United Kingdom (UK) sudah memiliki peruntukan sedemikian dengan bekas Perdana Menteri, Tony Blair telah didakwa pada tahun 2004.

“Kita (Malaysia) tidak mempunyai (undang-undang pendakwaan) dan seharusnya ia diperkenalkan. Ia sudah dilakukan di England pada tahun 1800-an.

“Kita patut ada peraturan tersebut, undi percaya atau tidak percaya terhadap kerajaan, kena letak notis (dalam Dewan Rakyat),” katanya ketika berucap pada forum bertajuk ‘Kestabilan Politik dalam Parlimen Tergantung’ pada Selasa.

Prosiding untuk mendakwa merujuk kepada pertuduhan salah laku yang dibuat terhadap penjawat awam.

Dalam pada itu, Wan Junaidi yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) mencadangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin membawa cadangan berkenaan dalam pembentangan rang undang-undang persendirian di masa akan datang.

Pada masa sama, beliau turut menggesa satu akta diwujudkan untuk menetapkan tempoh penggal Parlimen bagi melengkapkan Undang-undang Anti Lompat sedia ada.

“Itu sahaja cara untuk membenarkan kerajaan minoriti untuk meneruskan (kerajaan). Hanya Parlimen yang boleh menentukan bila pilihan raya boleh dilaksanakan.

“Namun apabila dua per tiga ahli Parlimen bersetuju untuk mengadakan pilihan raya, baru diadakan (pilihan raya). Jika tidak, kerajaan minoriti akan meneruskan pentadbiran,” ujarnya.

—  DIANA AZIS