Home » Saya bakal ditahan, tiga kali polis datang rumah: Chegu Bard
Berita Dalam Negara Politik

Saya bakal ditahan, tiga kali polis datang rumah: Chegu Bard

Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard.

PUTRA JAYA:Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegu Bard mendakwa pihak berkuasa akan menahannya tidak lama lagi berhubung beberapa kenyataan sebelum ini dalam beberapa program ceramah.

Badrul Hisham yang lantang mengkritik dan membangkitkan banyak isu melibatkan kerajaan campuran Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pihak polis berhubung ucapannya dalam satu ceramah politik di Pengkalan Chepa, awal bulan lalu.

“Saya dimaklumkan, sembilan laporan polis dibuat terhadap saya berkaitan ceramah itu, malah tiga minggu lalu, tiga kali polis datang ke rumah saya,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Badrul Hisham terdahulu menyerahkan bukti berkaitan harta dimiliki Perdana Menteri (PMX) di hadapan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini.

Katanya, beliau juga mendakwa polis turut memanggilnya untuk memberi keterangan susulan kenyataannya dalam siri ceramah di Sungai Acheh, namun beliau enggan berbuat demikian.

Chegu Bard berkata, beliau memutuskan untuk tidak hadir memberi keterangan dan kerjasama kerana polis masih ‘hutang’ kepadanya berhubung siasatan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkait isu Jom Ziarah Gereja.

Katanya, tindakan menolak untuk bekerjasama adalah sebagai bantahan kerana mendakwa polis tidak menyiasat laporan dibuatnya terhadap Menteri Belia dan Sukan itu.

“Sudah setengah tahun saya tunggu tetapi tiada tindakan. Saya juga sedar penolakan untuk kerjasama dengan polis akan menyebabkan saya ditangkap.

“Sudah 39 kali saya duduk di lokap polis dan akan duduk kali ke-40, namun saya rasa Alhamdulillah kerana mempertahankan akidah anak bangsa,” katanya lagi.

— AGENDA DAILY