Home » Robert mahu pemimpin setempat jadi pendengar baik, agen penyampai dasar kerajaan
Berita Tempatan Politik

Robert mahu pemimpin setempat jadi pendengar baik, agen penyampai dasar kerajaan

Robert bersama Annuar dan Awang Kadin menghadiri Program Kolaborasi UPPM dan Pemimpin Setempat kawasan Parlimen Keningau.

KENINGAU: Pemimpin setempat bukan sahaja berperanan sebagai pendengar yang baik malah merupakan agen penyampai dan pelaksana dasar-dasar kerajaan agar ia dapat dinikmati rakyat di akar umbi.

Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik berkata, pemimpin akar umbi bukan sahaja bertanggungjawab menjadi pendengar yang baik tentang keluh dan masalah rakyat tetapi juga berperanan sebagai agen penyampai dan pelaksana dasar-dasar kerajaan.


“Saya berharap agar semua yang terlibat dalam Program Kolaborasi Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pemimpin Setempat di kawasan Parlimen Keningau dapat memanfaatkan sepenuhnya ceramah yang disampaikan.


“Semua maklum bahawa pemimpin akar umbi amat rapat dengan rakyat. Justeru, jalankanlah tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebaik mungkin sebagai mata dan telinga kerajaan.

 
“Saya juga berharap para pemimpin juga sentiasa menjaga etika kerana kita merupakan cerminan dan teladan di mata rakyat. Kita akan sentiasa berhadapan dengan cabaran berat hampir setiap hari dan jadikan ia pembakar semangat untuk sama-sama berusaha menyelesai masalah rakyat, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kolaborasi UPPM dan Pemimpin Setempat kawasan Parlimen Keningau yang diadakan di Dewan Masyarakat Keningau.


Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman; Pengarah UPPM Negeri Sabah Datuk Awang Kadin Tang dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor Junior Fred.


Dalam pada itu, Robert yang juga ADUN Bingkor turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada UPPM Pusat kerana telah menganjurkan program kolaborasi di kawasan Parlimen Keningau.


Difahamkan, program serupa telah dilaksanakan di beberapa kawasan Parlimen di Sabah iaitu, Parlimen Lahad Datu, Parlimen Semporna, Parlimen Tawau Dan Parlimen Kalabakan.


Sebagai wakil rakyat, saya menyambut baik usaha ini yang dilaksanakan di kawasan-kawasan parlimen di Sabah sebagai usaha untuk memperkasa pemimpin-pemimpin setempat bagi mencapai hasrat Kerajaan Negeri ke arah Sabah Maju Jaya.

“Terima kasih kepada jawatankuasa pelaksana program atas usaha itu. Sudah pastinya hasil kerjasama erat di antara UPPM Pusat dan UPPM Tambunan, UPPM Bingkor dan UPPM Liawan akan memberi impak positif dalam menyampaikan khidmat kepada rakyat, ” katanya.

— Kenneddy Corlleus