Home » MoU SESB, SK Nexilis bakal perkasa peluang pekerjaan di Sabah
Berita Tempatan Politik

MoU SESB, SK Nexilis bakal perkasa peluang pekerjaan di Sabah

MOU: Phoong (berdiri tengah), Madius (berdiri kiri) dan Thomas (berdiri kanan) hadir menyaksikan Mohd Yaakob (dua kiri) dan Kim Jasun (dua kanan) menandatangani MoU pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dengan syarikat SK Nexilis dari Korea Selatan dijangka membawa impak positif terutama dari segi peluang pekerjaan.

Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe berkata, menerusi MoU berkenaan, SESB akan membekal, menghantar, melengkapkan pemasangan, ujian dan pentauliahan peralatan elektrik untuk pembekalan tenaga elektrik ke kilang SK Nelixis.

Katanya, usaha itu secara tidak langsung akan membantu memberikan impak positif kepada pelaburan SK Nexilis ke Sabah khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan serta yang berkaitan.

Menurutnya, kilang pembuatan kerajang tembaga SK Nexilis yang dijangka siap akhir tahun depan akan memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan Sabah.

“Daripada 400 peluang pekerjaan yang akan diwujudkan, 80 peratus daripadanya akan diisi oleh anak-anak tempatan.

“Penyediaan peluang pekerjaan itu sejajar dengan polisi kerajaan negeri yang memerlukan syarikat asing mengambil 80 peratus tenaga kerja dalam kalangan penduduk tempatan di Sabah.

“Dengan jumlah pelaburan sebanyak RM4.2 bilion, pelaburan syarikat ini juga menjadi pelaburan terbesar yang dimeterai dan bertapak di Sabah secara rasminya,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis Menandatangani MoU  Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA)  di antara SESB dan SK Nexilis di sini hari ini.

Phoong berkata, kilang kerajang tembaga yang dibina oleh syarikat SK Nexilis melibatkan kawasan seluas 100 ekar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Dalam pada itu, pihaknya berharap pengoperasian sepenuhnya SK Nexilis memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan berpotensi untuk menawarkan produk berketepatan dan berkualiti tinggi untuk aplikasi khusus.

Pada masa sama katanya, ia turut menggalakkan penggunaan teknologi tinggi untuk kecekapan yang lebih tinggi dan menggalakkan inovasi berterusan serta meningkatkan daya saing industri tempatan dengan bekerjasama dari universiti dan institusi teknikal tempatan.

Sementara itu, Pengerusi SESB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, ESA yang diberikan kepada SK Nexilis sebagai pelabur pertama dan terakhir untuk mendapat tarif khas bertujuan menarik pelaburan asing ke Sabah.

Katanya, melalui MoU berkenaan, SK Nexilis diberi keistimewaan sebagai pengguna industri kuasa besar (LPC) yang terbesar di SESB apabila kilang berkenaan beroperasi sepenuhnya kelak.

“SK Nexilis juga akan menjadi pengguna (Large Power Consumer) untuk SESB dengan anggaran penggunaan sebanyak 70 megawatt (MW) dan anggaran jualan sebanyak 45,360 megawatt-hour (MWh) sebulan.

“Ini memberi jangkaan jualan kepada SESB sebanyak RM122 juta setahun dan kenaikan jualan sebanyak 10.05 peratus,” jelasnya.

Pada majlis itu, SESB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif SESB Mohd Yaakob Jaafar dan Setiausaha Syarikat SESB Zunaida Osman manakala SK Nexilis diwakili oleh Pengarah SK Nexilis Malaysia Kim Jasun bersama  Ketua Pegawa Eksekutif SK Nexilis Shin Dong Hwan.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Industri dan Keusahawanan Datuk Thomas Logijin.

— Siti Aisyah Narudin