KOTA MARUDU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor masih beum menerima sebarang surat perletakan jawatan daripada Ketua Bahagian BERSATU Kota Marudu Datuk Wetrom Bahanda.
Bagaimanapun katanya, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau terbabit diketahui melalui media sosial.
“Kita dengar dan lihat dari media sosial, nampak macam begitulah. Apapun saya yakin BERSATU Bahagian Kota Marudu akan tetap wujud dan berjuang bersama parti komponen GRS di Kota Marudu.
“Seperti yang saya nyatakan, penyokong ahli BERSATU di Kota Marudu akan menyokong calon daripada GRS yang akan diletakkan di sini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan Wetrom yang keluar BERSATU dan didakwa menyertai Parti Warisan (WARISAN).
Beliau berkata demikian sempena Program Jelajah GRS Kota Marudu di sini hari ini.
Hajiji turut yakin, tindakan Wetrom itu juga tidak akan menggoyahkan keutuhan kerjasama parti-parti komponen GRS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
“Saya lihat GRS satu gabungan yang agak kuat dan diterima rakyat, jadi saya yakin kekuatan itu masih utuh di Kota Marudu,” jelasnya.
Ditanya adakah penyandang Kerusi Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili akan menjadi calon GRS pada PRU15, beliau berkata, tidak ada masalah dalam perbincangan mengenai perkara itu memandangkan Maximus seorang pemimpin yang hebat dan cukup berpengalaman.
“Beliau seorang pemimpin yang berpengalaman dan begitu hebat memperjuangkan Sabah di peringkat Persekutuan.
“Kita mahu pemimpin yang dihormati di peringkat Persekutuan untuk membawa apa juga permasalahan yang bersangkutan dengan Sabah.
“Kalau ada orang cakap sumbangan beliau di Kota Marudu tidak banyak, itu satu fitnah dan tidak betul,” katanya.
Add Comment