Tidak kurang yang berkongsi di media sosial menyatakan rasa terkejut dengan tindakan biadab vokalis kumpulan rock alternatif dari United Kingdom itu. -Facebook Good Vibes Festival
KUALA LUMPUR: Pengunjung Good Vibes Festival 2023 meluahkan rasa jelik terhadap tindakan biadab vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy yang menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan ketika persembahan mereka di festival itu, malam tadi.
Tidak kurang yang berkongsi di media sosial menyatakan rasa terkejut dengan tindakan biadab vokalis kumpulan rock alternatif dari United Kingdom itu, malah yang mengatakan tindakan itu telah menukar mood festival daripada ‘good vibes’ kepada ‘bad vibes’.
Susulan kejadian, Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing Dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) hari ini menyenaraihitamkan kumpulan itu daripada membuat sebarang persembahan di negara ini.
Seorang pengunjung festival berkenaan Iskandar Zulkarnain, 30, ketika dihubungi Bernama menyuarakan pandangan bahawa mana-mana artis luar negara perlu menghormati peraturan yang telah ditetapkan semasa membuat persembahan di negara berkenaan.
“Dia (Healy) kena hormat nilai-nilai di negara ini. Perkara berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) ini sememangnya sudah ditekankan tidak boleh oleh kerajaan.
“Sepatutnya mereka (The 1975) buat kajian dahulu sebelum menerima tawaran untuk membuat persembahan di sini.
“Sekarang ini bila jadi kes macam malam tadi, kita selaku penggemar konsert takut akan menyebabkan kugiran-kugiran lain dari luar negara takut untuk datang membuat persembahan di Malaysia,” katanya.
Terdahulu Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengadakan pertemuan dengan penganjur festival, Future Sound Asia hari ini, dan mengarahkan supaya penganjuran festival itu yang masih berbaki sehingga esok dibatalkan serta-merta.
Fahmi dalam kenyataan berkata pendirian Kerajaan Perpaduan adalah jelas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.
Yakin penganjur telah meletakkan garis panduan sewajarnya kepada artis jemputan, seorang lagi pengunjung, Puteri Shahirah, 24, bagaimanapun tidak menyalahkan penganjur, namun berpendapat vokalis itu sendiri yang bermasalah kerana tidak menghormati budaya ketimuran yang menjadi pegangan masyarakat di negara ini.
Sebelum ini, dalam konsert di Finsbury Park di London beberapa bulan lepas, Healy pernah membuat gempar apabila meratah daging mentah di atas pentas sebagai gimik dalam persembahannya.
Sementara itu Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi di dalam siaran langsung di media sosial TikToknya berkata orang ramai tidak seharusnya menyalahkan kerajaan terhadap insiden itu.
“Menteri tak salah. Kita takkan boleh tahu melainkan ada orang melaporkan. Jadi bila ada orang membuat laporan baru kerajaan boleh ambil tindakan,” katanya.
Bagi mengelak insiden yang sama berulang di masa hadapan, beliau atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan melantik dari kalangan penggiat seni untuk berada di dalam JK-PUSPAL.
“Saya merayu kalau boleh letak satu wakil dari persatuan seni dalam jawatankuasa PUSPAL untuk nilai sama ada artis dari luar layak membuat persembahan atau penggambaran di Malaysia,” katanya.
— AWANI
Add Comment