Home » Hajiji mahu PPM beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat
Berita Tempatan Politik

Hajiji mahu PPM beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat

Hajiji berkata, fungsi PPM adalah untuk memberikan gambaran yang jelas mengenai dasar kerajaan khususnya pembangunan yang dijalankan dalam tempoh lebih dua tahun mentadbir negeri ini.

KOTA KINABALU: Semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) diingatkan supaya sentiasa memainkan peranan penting dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing. 

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, setiap PPM mempunyai peranan penting dan tanggungjawab yang besar.

Katanya, pelantikan sebagai PPM bukan satu keistimewaan dan pihak berkenaan perlu sentiasa bekerjasama rapat dengan wakil rakyat dalam perkhidmatan di kawasan.

“Kita tidak mahu melihat ada PPM yang melakukan perkara mengikut kehendak dan keinginan sendiri.

“Tetapi anda mesti tunaikan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh,” katanya selepas menyaksikan majlis angkat sumpah 14 PPM baharu di Menara Kinabalu dekat sini hari ini.

Hajiji berkata, fungsi PPM adalah untuk memberikan gambaran yang jelas mengenai dasar kerajaan khususnya pembangunan yang dijalankan dalam tempoh lebih dua tahun mentadbir negeri ini.

Sehubungan itu katanya, PPM perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai rancangan pembangunan kerajaan khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Dalam pada itu, beliau juga mahu semua pihak memberikan kerjasama dalam usaha kerajaan mempergiatkan tindakan membasmi kemiskinan di Sabah.

Menurutnya, PPM mempunyai tempoh sekitar dua tahun lagi untuk meneruskan khidmat kepada rakyat sebelum tamatnya pentadbiran kerajaan negeri sekarang.

Justeru katanya, dalam proses itu pihak PPM perlu membantu wakil rakyat di kawasan masing-masing untuk mendapatkan semula Kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pada majlis itu, seramai 14 PPM yang mengangkat sumpah di hadapan Hajiji termasuk Abd Rashid Saidin dari Ibu Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM); Muhammad Tasan (Bengkoka), Sharif Kadah Sharif Osman (Bandau), Saikom Watis (Kadamaian), Rosita Ganggang (Inanam), Alex Tan Liang Boon (Likas), Lee Li Mei (Api-Api), Chin Thau Kwong (Luyang), Shamsur Zulkifli (Petagas), dan Cyril Gerald Liew (Kapayan), Ana Maria Bernadus (Limbahau), Max Million Lee Yun Vui (Tanjung Papat), Juslee Arpaih (Sukau) dan Mohamad Latip Katik (Kunak).

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Datuk Abidin Madingkir; dan Pengarah UPPM Datuk Awang Kadin Tang.

— Siti Aisyah Narudin