KOTA BHARU – Seramai 338 ahli UMNO di Bachok menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan akan membantu kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kesemua mereka menghantar borang permohonan keahlian pada Sabtu diketuai Ketua Cawangan UMNO Senok Tok Pakeh, Che Ramli Haron ketika Program Selamat Tinggal UMNO di Pantai Senok pada Sabtu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Zulkifli Zakaria berkata, Bersatu menganggarkan lebih 5,000 lagi ahli UMNO menyertai parti berkenaan.
“Kita yakin Perikatan Nasional (PN) dapat menguasai Putrajaya selepas PRU15,” katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Mohd Zulkifli yang juga Ketua Bahagian Bersatu Bachok memberitahu akan meneruskan kempen mengajak lebih ramai ahli baharu terutama anak muda menyertai parti itu.
Program Selamat Tinggal UMNO anjuran Bersatu Bahagian Bachok dilancarkan oleh Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Mohd Nor.
Sementara itu, Che Ramli menyatakan kekecewaan terhadap UMNO dan hilang keyakinan terhadap pimpinan pusat.
Beliau mendakwa pimpinan parti itu hanya memikirkan kuasa dan kedudukan tanpa mengambil kira kehidupan rakyat yang mengalami kesusahan.
“Kami amat kecewa dan mengambil keputusan menyertai parti ini (Bersatu),” katanya.
Add Comment