Home » Pelan Pembangunan Penjanaan ambil kira penambahan keperluan beban lazim – Nizam
Berita Tempatan Politik

Pelan Pembangunan Penjanaan ambil kira penambahan keperluan beban lazim – Nizam

Nizam berkata Strategi perancangan dalam Pelan Pembangunan Penjanaan dibahagi kepada tiga fasa iaitu Fasa Penyelesaian Segera (2023-2025), Fasa Penyelesaian Jangka Sederhana (2026-2030) dan Fasa Penyelesaian Jangka Panjang (selepas 2030).

KOTA KINABALU: Pelan Pembangunan Penjanaan (PDP) yang diluluskan kerajaan pada 12 Jun lepas mengambil kira pertumbuhan organik iaitu unjuran penambahan keperluan beban yang lazim.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, usaha itu melibatkan peningkatan pengguna domestik dan pengguna kategori lain yang kecil di negeri ini.

Katanya, pelan berkenaan turut mengambil kira keperluan beban ‘step load’ oleh pengguna dari industri besar yang komited. 

“Strategi perancangan dalam Pelan Pembangunan Penjanaan dibahagi kepada tiga fasa iaitu Fasa Penyelesaian Segera (2023-2025), Fasa Penyelesaian Jangka Sederhana (2026-2030) dan Fasa Penyelesaian Jangka Panjang (selepas 2030).

“Fasa Penyelesaian Segera    adalah untuk mencapai jidar simpanan penjanaan (Generation Spare Capacity) ke tahap kukuh iaitu 30 peratus.

“Dengan erti kata lain, simpanan penjanaan perlu mempunyai lebihan 30 peratus (sekitar 300 Megawatt) berbanding beban maksima grid Sabah yang kini mencecah hampir 1,100 Megawatt,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr. Daud Yusof (WARISAN-Bongawan) mengenai hala tuju penambahan kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Sabah berbanding permintaan pengguna pada Sidang DUN di sini hari ini.

Nizam berkata, Fasa Penyelesaian Jangka Sederhana antara lain melibatkan penambahan kapasiti penjanaan daripada sumber hidro berjumlah sekitar 400 Megawatt, projek solar berskala besar berjumlah 100 Megawatt dan lain-lain projek penjanaan.

Selain itu katanya, Fasa Penyelesaian Jangka Panjang tertumpu kepada mempertingkatkan potensi hidroelektrik di Sabah melalui hasil kajian Pelan Pembangunan Hidro yang sedang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Beliau berkata, penerokaan ke atas teknologi dan sumber penjanaan baharu akan dilaksanakan seperti ‘Geothermal’, ‘Wind’, ‘Hydrogen’ dan ‘Battery Energy Storage System’ (BESS).

Dalam pada itu katanya, penyewaan set penjana kuasa di atas kapal (powership) adalah penyelesaian tuntas dan terpantas untuk membolehkan penambahan kapasiti penjanaan sebanyak 200 Megawatt dan boleh dipasang di mana-mana lokasi dengan pantas tanpa keperluan tapak. 

“Syarikat Karpowership Global DMCC adalah syarikat daripada negara Turkiye iaitu pemilik, pengendali dan satu-satunya pembina loji janakuasa terapung di dunia.

“Mereka memiliki dan mengendalikan 36 Powership dengan kapasiti terpasang melebihi 6,000 Megawatt, menyediakan tenaga yang boleh diharap kepada 15 negara berbeza yang merangkumi 4 benua,” jelasnya.

— Siti Aisyah Narudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment