Home » KDNK Sabah meningkat 3.7 peratus kepada RM81.9 bilion
Berita Tempatan Politik

KDNK Sabah meningkat 3.7 peratus kepada RM81.9 bilion

Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) Vice President Datuk Abidin Madingkir.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata pertumbuhan sektor perkhidmatan sebanyak 8.6 peratus dipacu oleh peningkatan prestasi subsektor utama iaitu subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan.

KOTA KINABALU: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.7 peratus berbanding 1.5 peratus tahun sebelumnya dengan nilai ditambah sebanyak RM81.9 bilion.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, pertumbuhan positif itu didorong oleh peningkatan ketara dalam sektor perkhidmatan yang menjadi penyumbang utama kepada KDNK Sabah iaitu sebanyak 49.5 peratus dengan nilai ditambah sebanyak RM40.6 bilion.

Katanya, data rasmi terkini KDNK Negeri Sabah diterbitkan setakat 2022 sahaja oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 27 Jun 2023.

Menurutnya, pertumbuhan sektor perkhidmatan sebanyak 8.6 peratus dipacu oleh peningkatan prestasi subsektor utama iaitu subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan.

Beliau berkata, ia diikuti oleh sektor perkhidmatan kerajaan dan sektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi.

“Meskipun menjadi penyumbang kedua terbesar kepada keseluruhan KDNK Sabah, iaitu sebanyak 24.8 peratus dengan nilai ditambah sebanyak RM20.3 bilion, sektor perlombongan dan pengkuarian menunjukkan penurunan pertumbuhan sebanyak negatif 1.3 peratus pada 2022 berbanding 3.2 peratus tahun sebelumnya.

“Penguncupan sektor ini dipengaruhi oleh penyusutan subsektor utamanya iaitu minyak mentah dan kondesat kepada negatif 4.4 peratus dan subsektor gas asli sebanyak 8.4 peratus. 

“Sektor pertanian Sabah pula mencatatkan nilai ditambah berjumlah RM12.5 bilion pada 2022 iaitu merosot sebanyak negatif 0.2 peratus,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, pertumbuhan sektor berkenaan lebih baik daripada penyusutan negatif 2.2 peratus seperti yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Abidin berkata demikian bagi menjawab Datuk A Gani Pg. Amir (Gagasan Rakyat-Sebatik) mengenai bidang industri utama yang menyumbang kepada pendapatan negeri dan senarai industri mengikut peratusan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata, sektor pertanian adalah sektor ketiga terbesar di Sabah dengan sumbangan sebanyak 15.2 peratus kepada keseluruhan KDNK Sabah.

Menurutnya, subsektor tanaman kelapa sawit mendominasi sektor pertanian di Sabah dengan sumbangan sebanyak 9.6 peratus daripada keseluruhan KDNK Sabah, diikuti subsektor perikanan (2.5 peratus), tanaman-tanaman lain (1.3 peratus) dan ternakan (1.0 peratus).

Katanya, sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan negatif 2.5 peratus dengan penurunan dalam nilai ditambah kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.9 bilion pada tahun sebelumnya. 

“Penyusutan dalam sektor ini adalah disebabkan oleh penguncupan dalam subsektor minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan, prosesan makanan, minuman dan produk tembakau serta subsektor produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan.

“Sektor pembinaan meningkat pada kadar 6.2 peratus berbanding 7.9 peratus pada tahun sebelumnya. Nilai ditambah sektor ini mencatatkan peningkatan kepada RM2.5 bilion berbanding RM2.4 bilion pada 2021 yang disokong oleh prestasi yang konsisten dalam subsektor pembinaan pembangunan, kejuruteraan awam dan aktiviti pembinaan pertukangan khas,” jelasnya.

— Siti Aisyah Narudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment