Home » Pekerja SFI mohon kerajaan salur bekalan elektrik, hentikan pembalakan
Berita Tempatan Politik

Pekerja SFI mohon kerajaan salur bekalan elektrik, hentikan pembalakan

SERAH: Jeffridin menyerahkan memorandun kepada Arthur sambil disaksikan Norhayati di laluan masuk Dewan DUN di sini

KOTA KINABALU: Pekerja Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) meminta agar kerajaan negeri memberikan perhatian terhadap keperluan asas yang diperlukan oleh penghuni di sekitar kawasan perumahan SFI terbabit.

Wakil pekerja SFI Jeffridin Daudi berkata antara masalah yang dihadapi oleh pekerja serta ahli keluarga di kawasan itu adalah ketiadaan bekalan elektrik sejak tiga bulan lalu.

“Kami meminta agar kerajaan negeri mengambil tindakan secepat mungkin menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan elektrik yang menyukarkan kami untuk menjalani kehidupan harian.

“Secara langsung kami juga berhadapan masalah ketiadaan air yang turut terjejas dengan ketiadaan bekalan elektrik sehingga kami terpaksa mengeluarkan wang sehingga ratusan ringgit setiap bulan bagi membeli bekalan air dari luar.

“Masalah ini bukan setakat menjejaskan kawasan perumahan yang dihuni 674 ketua keluarga malah turut terkesan adalah tiga buah sekolah yang berada berhampiran kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghantar memorandum kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Memorandun diterima Pegawai Khas Ketua Menteri Arthur Sen dan Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Norhayati Titing berikutan Hajiji sedang berada di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di Bangunan DUN Sabah.

Jeffridin berkata baru-baru ini pihak pekerja SFI mendapat perintah mahkamah supaya pengusiran tidak berlaku dan sedikit sebanyak berita itu memberi satu kekuatan kepada warga kerja SFI.

Beliau bagaimanapun berkata dalam tempoh sama pihaknya juga meminta kerajaan negeri agar mengawal aktiviti pembalakan di sekitar kawasan SFI seiring penundaan perintah mahkamah bagi memastikan kelangsungan bekalan kayu tidak diganggu untuk jangka masa panjang.

“Sekiranya berlaku pembalakan secara besar-besaran ini akan menggangu minat pelabur untuk melabur di kawasan ini berikutan ketiadaan aset di SFI termasuk kayu balak akibat kegiatan pembalakan ini.

“Keadaan ini juga akan menyebabkan peluang kami untuk mendapat pekerjaan semula sangat tipis dan kami meminta pembalakan dihentikan serta merta untuk mematuhi perintah mahkamah serta menjamin kelangsungan bekalan balak di sini,” katanya.

Pada Oktober 2022, kerajaan Sabah mengumumkan mengambil semula tanah milik SFI berkeluasan lebih 200,000 hektar dan mengekalkan pekerja syarikat itu dengan menyerap mereka di bawah skim kerajaan negeri dalam projek pembangunan hutan balak secara mapan selain menangani isu gaji tertunggak sebelum ini.

Sehingga kini pihak majikan SFI gagal membayar tunggakan gaji bekas pekerjanya selama lima bulan mulai April hingga Ogos 2021 dan situasi ini menyebabkan bekas pekerja SFI mengalami tekanan hidup dan masalah kewangan.

— Vivi Olviana Najurus