Home » MPS akan ambil tindakan kepada pemilik bermasalah
Berita Tempatan Politik

MPS akan ambil tindakan kepada pemilik bermasalah

ALBUM: Chew (dua kanan) merakamkan gambar kenangan ketika hadir dalam mesyuarat berkenaan.

SANDAKAN: Perbincangan bersama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) membawakan hasil apabila dimaklumkan bahawa MPS akan mengambil tindakan terhadap pemilik rumah bangunan bertingkat yang didapati bermasalah.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting Datuk Chew Kok Woh berkata, pelbagai aduan yang sering diterima mengenai kerosakan saluran paip najis dan paip air hujan. Penyelenggaraan sepatutnya dilakukan oleh pemilik premis atau rumah itu sendiri.

“Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) yang kini sudah berkuatkuasa memberikan kuasa kepada MPS memaklumkan kepada pemilik premis bangunan untuk membaiki kerosakan berkenaan melalui satu notis bertempoh 14 hari.
 
“Selepas tamat tempoh itu, pihak MPS akan bertindak membaiki kerosakan berkenaan dan  pemilik premis akan diberikan invois penyelenggaraan bagi membuat pembayaran.

“Kemudian, sekiranya selepas 14 hari lagi pembayaran tidak dilakukan, maka jumlah kos itu akan dikreditkan dalam Cukai Pintu Tahunan pemilik premis berkenaan.

“Tidak dinafikan ramai dalam kalangan penyewa tidak membayar kos berkenaan disebabkan mereka bukan pemilik premis,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dalam pada itu, Chew berkata, terdapat empat perkara yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan MPS. Antaranya masalah anjing liar.

Katanya, MPS perlu mengambil langkah proaktif untuk mengatasi masalah berkenaan kerana isu itu sudah dibangkitkan dalam mesyuarat sebelum ini.

“Dalam mesyuarat ini, wakil Kementerian Kesihatan Malaysia juga meluahkan kerisauan mengenai penyakit rabies, walaupun belum ada rekod mengenai jangkitan itu di sini, tetapi langkah berjaga-jaga perlu sentiasa diambil.

“Tindakan kejam dikenakan terhadap anjing-anjing liar juga tidak boleh diambil memandangkan MPS juga tertakluk dengan perjanjian bersama Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA),” katanya.

Chew berkata, denggi juga menjadi masalah utama di sini dan mahukan pihak berkuasa berganding bahu memperkasakan usaha mencegah pembiakan nyamuk denggi di sekitar bandar ini.

Katanya, pihak berkuasa juga perlu sentiasa memantau kawasan pembuangan sampah yang tidak dicuci secara berkala khususnya di Bandar Ramai Ramai, Leila dan Nam Tung.

“Ketika berhubung dengan pihak konsesi yang dilantik, sekiranya mereka boleh membersihkan kawasan itu dalam tempoh tujuh hari, mereka memberikan jawapan yang tidak memuaskan.

“MPS perlu memantau perkara ini dan bertindak tegas kepada pihak konsesi yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

Sementara itu katanya, berkenaan dengan loji rawatan sisa kumbahan yang dibina berdekatan dengan tanah perkuburan Islam Kampung Bokara.

Katanya, loji berkenaan sudah tidak beroperasi selama 15 tahun kerana kelengkapannya telah dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Tinjauan dilakukan mendapati sebahagian kawasan itu turut dijadikan kawasan perkuburan pada ketika ini. Kami telah menemui satu tapak baharu untuk loji itu tetapi ia terletak di atas tanah Lembaga Pelabuhan Sabah.

“Saya mencadangkan satu mesyuarat lima penjuru diadakan untuk mencari jalan penyelesaian bagi pembinaan loji baharu ini.

“Tanpa loji baharu, sisa kumbahan dari kawasan Bandar Karamunting akan sentiasa tersumbat kerana tiada kemudahan loji rawatan itu, sekali gus menyebabkan kekotoran di atas jalan raya,” katanya.

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment