Home » PM terima kunjungan Menteri Luar China
Berita Dalam Negara Politik

PM terima kunjungan Menteri Luar China

Dari segi pelaburan, China merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia pada tahun lepas dengan pelaburan berjumlah AS$12.5 bilion (RM55.16 bilion).

GEORGETOWN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan daripada Menteri Luar China Wang Yi yang mengadakan lawatan dalam usaha meningkatkan kerjasama dua hala.

Selain itu, pertemuan yang diadakan menunjukkan kepentingan hubungan perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara yang menyaksikan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009 dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$110.6 bilion (RM488 bilion) pada 2022.

Dari segi pelaburan, China merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia pada tahun lepas dengan pelaburan berjumlah AS$12.5 bilion (RM55.16 bilion).

Jumlah eksport ke China meningkat 9.4 peratus kepada RM210.62 bilion (AS$47.84 bilion) pada 2022 manakala import dari China menyaksikan peningkatan 20.7 peratus kepada RM276.50 bilion (AS$62.78 bilion) pada tahun yang sama.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan kedua-dua negara juga akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun depan, menandakan persahabatan yang lama terjalin dan kerjasama mantap dalam pelbagai sektor.

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Faiz Rais