Home » Saya percaya pengundi akan membuat pilihan tepat demi kemajuan, keamanan dan perpaduan negara – Anwar 
Berita Dalam Negara Politik

Saya percaya pengundi akan membuat pilihan tepat demi kemajuan, keamanan dan perpaduan negara – Anwar 

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meminta pengundi memilih perpaduan demi masa depan yang stabil, ekonomi yang terangkum dan jelas pengarahannya serta memastikan isu tahap gaji rakyat tidak dipandang remeh dan dipertingkat.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat yang mengundi pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu, esok, supaya memilih pemimpin yang boleh menjaga keamanan, kestabilan negara, parti serta kerajaan yang boleh memulihkan ekonomi dan memberi jaminan pekerjaan kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, semua pengundi termasuk anak muda yang baru mendapat peluang dan diberikan hak memilih supaya mengundi dengan bijak bagi menjamin kemajuan, keamanan dan perpaduan negara serta rakyat keseluruhannya terus terjamin.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meminta pengundi memilih perpaduan demi masa depan yang stabil, ekonomi yang terangkum dan jelas pengarahannya serta memastikan isu tahap gaji rakyat tidak dipandang remeh dan dipertingkat.

Katanya, paling utama ialah kerajaan dipilih itu dapat memberi keselesaan hidup kepada diri, keluarga mereka dan negara.

“Tanggungjawab mengundi ini perlu diambil sebagai serius dan digunakan dengan bijak termasuk golongan muda untuk memilih mereka yang boleh menjaga keamanan, kestabilan negara, parti serta kerajaan yang dapat memulihkan ekonomi dan memberi jaminan pekerjaan kepada rakyat.

“Saya percaya pengundi akan membuat pilihan tepat demi kemajuan, keamanan dan perpaduan negara serta rakyat keseluruhannya.

“Saya mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh rakyat pada PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu esok,” katanya dalam satu hantaran video ringkas di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pengundi perlu keluar awal dan memastikan pemimpin dipilih mereka dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Keluar awal dan pastikan kita pilih PH-BN!

“Esok pada 12 Ogos 2023, Insya-Allah rakan dan saudara saudari daripada enam negeri dan Parlimen Kuala Terengganu akan menunaikan tanggungjawab mereka.

“Pastikan memilih wakil atau calon yang didukung untuk dapat menerajui kerajaan negeri dan juga sebagai anggota Parlimen di Kuala Terengganu.

“Saya berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan berjalan lancar dan tenang, dapat menjalankan serta menyempurnakan tanggungjawab mengundi,” katanya

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak esok.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment