Home » SAPP cadang GRS tanding semua 73 Kerusi DUN
Berita Tempatan Politik

SAPP cadang GRS tanding semua 73 Kerusi DUN

Yong menegaskan SAPP masih releven dalam arena politik hari ini memandangkan perjuangan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dicetuskan parti itu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi 2010 membawakan hasil.

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) mencadangkan agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meletakkan calon pada kesemua 73 Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee juga menegaskan bahawa tiada lagi keperluan untuk mengadakan perbincangan atau rundingan dengan parti bukan tempatan untuk dijadikan rakan dalam PRN nanti.

“Berdasarkan pengalaman lalu, perbincangan seumpamanya hanya membuang masa. Kali ini kita semua dalam GRS bertanding hanya guna satu logo sahaja, iaitu logo GRS,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan-Cawangan SAPP Zon Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Beliau juga mendedahkan pada pilihan raya sebelum ini, DUN Likas sudah dipersetujui bersama bahawa SAPP akan meletakkan calon di kawasan berkenaan.

“Pada sebelah malam persetujuan sudah dimuktamadkan, tetapi saya menerima mesej pada keesokan paginya Kerusi itu akan diberikan kepada calon MCA.

“Saya tidak sakit hati, sebaliknya saya tetap turun mengundi MCA pada hari pengundian, cuma perkara seumpamanya boleh menjejaskan jentera pilihan raya gara-gara keputusan diubah pada saat akhir,” katanya.

Dalam ucapannya, Yong menegaskan SAPP masih releven dalam arena politik hari ini memandangkan perjuangan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dicetuskan parti itu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi 2010 membawakan hasil.

Katanya, pada ketika itu banyak pihak mempersoalkan perjuangan itu tetapi hari ini MA63 menjadi agenda utama dalam pentadbiran negara.

“Ya betul, kita kalah pada hari itu, tetapi kita juga mengecapi kemenangan kerana SAPP yang memulakan perjuangan MA63 dan bukannya parti lain.

“Sehingga hari ini, kerajaan GRS berjaya mencapai pelbagai kejayaan dalam usaha menuntut hak Sabah dalam MA63,” katanya.

Yong berkata, tuntutan berkenaan tidak dinafikan akan memerlukan tempoh masa lama, tetapi rakyat Sabah khususnya perlu bersatu dan tidak berputus asa memperjuangkan MA63.

Dalam pada itu katanya, SAPP kini berada dalam era baharu kerana bersama-sama rakan Komponen lain membentuk GRS, sebuah parti tempatan.

— Yap Siong Han