Home » Cadangan sekolah khas pelajar miskin tidak relevan – Masiung
Berita Tempatan Politik

Cadangan sekolah khas pelajar miskin tidak relevan – Masiung

Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, paling penting kerajaan perlu memperbanyakan insentif dan bantuan kepada pelajar kategori miskin.

TONGOD: Cadangan kerajaan mahu mewujudkan Sekolah Khas Pelajar Miskin adalah tidak praktikal dan dilihat hanya membezakan latar belakang kehidupan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, cadangan itu seolah-olah mahu mewujudkan ‘sistem kasta’ dalam pendidikan negara.


Katanya, dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini, lebih baik kerajaan berusaha menaik taraf sekolah-sekolah daif berbanding menubuhkan sekolah khas yang memerlukan kos lebih tinggi.


“Walaupun tujuannya baik, namun ia tidak relevan dilaksanakan pada masa kini kerana banyak lagi sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak masih menanti untuk dibaik pulih.


“Pendekatan itu harus dikaji semula kerana ia boleh memberi kesan psikologi yang kurang baik kepada pelajar dan ibu bapa berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.


Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, paling penting kerajaan perlu memperbanyakan insentif dan bantuan kepada pelajar kategori miskin.


Menurutnya, bantuan yang disediakan kerajaan juga perlu dipastikan sampai kepada golongan sasar tanpa wujud birokrasi.


“Saya juga berfikir, tidak akan ramai ibu bapa mahu menghantar anak mereka ke sekolah yang dikategorikan sekolah pelajar termiskin.
“Pelajar harus didedahkan dengan pendekatan lebih baik untuk belajar dalam kalangan rakan sebaya mereka tanpa perlu melebalkan taraf peribadi keluarga,” katanya.


Masiung berkata, memisahkan taraf pelajar adalah tidak rasional bagi sebuah Kerajaan Madani, sedangkan negara kini menuju ke arah sistem pendidikan inklusif.


Katanya, pelajar yang diletakan di sekolah termiskin sudah pasti akan merasa rendah diri dan menerima tekanan emosi bila bergaul dengan rakan sebaya mereka dari sekolah lain.


“Ada banyak cara lain kerajaan boleh membantu pelajar miskin, antaranya menyediakan bas sekolah khas dan menambah bangunan asrama selain memberi bantuan keperluan sekolah seperti beg dan uniform.


“Justeru, polisi dan dasar untuk membantu pelajar miskin perlu dirancang mengikut keperluan sesebuah negeri dan wilayah,” katanya.