Home » PKS Sabah sambut baik peruntukan RM15 juta kerajaan negeri
Berita Tempatan Politik

PKS Sabah sambut baik peruntukan RM15 juta kerajaan negeri

Datuk Foo Ngee Kee berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman peruntukan itu yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Persatuan Perusahaan Kecil Sederahana Sabah (PKS Sabah) menglu-alukan peruntukan RM15 juta kerajaan negeri bagi membantu usahawan PKS di Sabah.

Presidennya, Datuk Foo Ngee Kee berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman peruntukan itu yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor baru-baru ini.

Katanya, PKS Sabah berbesar hati dan optimis peruntukan itu dapat membantu serta menyokong pembangunan PKS menerusi program-program bantuan yang akan dilaksanakan.

“Inisiatif yang diumumkan ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri bagi membangunkan PKS dan belia di Sabah.

“PKS Sabah akan bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan ekonomi Sabah terus meningkat selaras Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM6.17 juta untuk Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) juga akan membantu meningkatkan promosi produk Sabah di dalam dan luar negara.

“PKS di Sabah ketika ini masih kekurangan skala pengeluaran kerana akses pasaran yang terhad di peringkat antarabangsa dan tempatan.

“Justeru, untuk bersaing dengan barangan import yang harganya jauh lebih rendah, produk PKS perlu meningkatkan jumlah pengeluaran mereka,” katanya.

Foo berkata, agihan RM7.1 juta kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) pula dilihat dapat menyedia dan membangunkan premis perniagaan di luar bandar.

“Ia akan menjadi satu bentuk pembangunan inklusif bagi PKS, selain kemudahan penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Usaha ini diharapkan dapat menurunkan kos sara hidup penduduk di kawasan berkenaan, disamping melahirkan usahawan-usahawan PKS,” katanya.

Beliau juga meminta kerajaan negeri membangunkan perniagaan trak mudah alih bagi membantu peniaga PKS yang tidak mampu menyewa kedai.

“Perniagaan trak mudah alih juga lebih bersih terutamanya apabila ia ditempatkan di pasar malam yang tiada bekalan air,” katanya.

— Hamzah Sanudin