Home » 1,000 Jalur Gemilang diagih semarakkan bulan kemerdekaan
Berita Tempatan Politik

1,000 Jalur Gemilang diagih semarakkan bulan kemerdekaan

Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui, setiap rakyat di negara ini perlu mengambil peluang menjayakan bulan sambutan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

TAWAU: Sebanyak 1,000 bendera Jalur Gemilang diagihkan kepada penduduk sekitar daerah ini sebagai usaha menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan.

Pengagihan bendera itu dilakukan pada Program Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Perbandaran Tawau 2023 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT), di sini, pagi tadi.

Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui, setiap rakyat di negara ini perlu mengambil peluang menjayakan bulan sambutan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Katanya, mengibar Jalur Gemilang bukan sahaja sebagai tanda kecintaan kepada negara tetapi juga berupaya mengukuhkan semangat perpaduan antara rakyat berbilang kaum sekaligus mengekalkan keharmonian dan keamanan.

“Jalur Gemilang ini bukan untuk meraihkan hari kemerdekaan semata-mata tetapi juga sebagai pengukuh kepada semangat perpaduan dan inisiatif diri terhadap kecintaan kepada negara.

PESERTA: Lo bergambar bersama peserta Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan masyarakat Tawau.Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang dan Presiden MPT, Joseph Pang.

“Kibarkanlah Jalur Gemilang di bangunan-bangunan pejabat, kediaman dan juga tidak lupa kepada peniaga untuk mengibarkan di setiap premis perniagaan mereka,”katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Sementara itu Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, inisiatif masyarakat di pantai Timur ini mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan sangat memberansangkan.

“Sepanjang laluan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang, kami melihat masyarakat di pantai timur Sabah sudah banyak yang mengibarkan bendera.

“Kita mengharapkan semangat mengibarkan Jalur Gemilang ini berterusan dan tidak hanya berlaku pada bulan kebangsaan Sahaja,” katanya.

Katanya, Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang itu disertai 66 peserta dari pelbagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Kembara Merdeka itu turut disertai anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan rakan strategik yang melalui laluan sepanjang 2,300 kilometer selama 14 hari.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang dan Presiden MPT, Joseph Pang.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment