Home » 334 pelajar cemerlang terima bantuan awal pengajian YBR
Berita Tempatan Politik

334 pelajar cemerlang terima bantuan awal pengajian YBR

Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata usaha ini adalah satu kerjasama yang padu bersama badan korporat di mana ia sebagai titik permulaan yang baik dalam membantu golongan memerlukan.

PENAMPANG: Seramai 334 pelajar cemerlang dalam kalangan B40 menerima Bantuan Awal Pengajian daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata melalui inisiatif ini, YBR memberi bantuan kepada penerima yang layak sebagai permulaan memulakan semester atau menyediakan peralatan pengajian yang diperlukan.

Majlis Perasmian Bantuan Awal Pengajian YBR disempurnakan Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, Penampang di sini.

Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Penampang Sektor Perancangan Germaine Marcella Sikijip dan Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Sementara itu, Jannie berterima kasih dengan bantuan yang diberikan oleh YBR dalam membantu golongan memerlukan khususnya pelajar yang kurang berkemampuan.

“Usaha ini adalah satu kerjasama yang padu bersama badan korporat di mana ia sebagai titik permulaan yang baik dalam membantu golongan memerlukan.

“Inisiatif ini juga membuktikan warga pendidik boleh berganding bahu bersama organisasi swasta yang lain untuk mencapai matlamat pendidikan yang ingin dikecapi,” katanya.

Dalam pada itu, Philip berkata, bantuan tunai yang diberikan setiap seorang itu diberikan kepada pelajar yang berjaya mendapatkan keputusan cemerlang.

“Bantuan ini juga sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kepada pelajar yang bertungkus lumus menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh persekolahan.

“Bagi meneruskan usaha dalam melestarikan matlamat untuk meningkatkan taraf pendidikan di Malaysia, bantuan hari ini merangkumi pelajar matrikulasi serta IPTA dan IPTS yang menerima Bantuan Awal Pendidikan YBR,” katanya.

Salah seorang penerima bantuan, Adriano Gatino, 18, berkata, pendidikan mampu mengubah nasib kehidupan keluarganya untuk ke peringkat seterusnya.

Seorang lagi penerima, Norazlin Amit @ James, 20, pelajar di Kolej Cyberjaya Kota Kinabalu berkata dengan bantuan ini beliau dapat digunakan untuk membuat persediaan awal sebelum memulakan semester yang akan bermula tidak lama.

“Saya dapat lagi menyediakan keperluan asas yang diperlukan, terima kasih YBR kerana bantuan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan yang perlu dihadapi,” katanya.

–TAMAT