Home » Tindakan PN mahu guna tema Hari Kebangsaan berbeza tidak patriotik, bermotif politik, kata Adam
Berita Dalam Negara Politik

Tindakan PN mahu guna tema Hari Kebangsaan berbeza tidak patriotik, bermotif politik, kata Adam

Perkara itu tidak patut berlaku memandangkan sambutan Hari Kebangsaan adalah untuk menggambarkan semangat kebersamaan rakyat, kata Adam Adli ketua Pemuda PKR itu yang juga merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan .

IPOH: Tindakan Perikatan Nasional (PN) yang bercadang menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza di empat buah negeri di bawah pentadbiran gabungan itu disifatkan khilaf, tidak patriotik dan bermotif politik.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata perkara itu seharusnya tidak berlaku memandangkan sambutan Hari Kebangsaan adalah salah satu pendekatan untuk menggambarkan semangat kebersamaan seluruh rakyat Malaysia.

“Hari Kebangsaan adalah sambutan seluruh negara, meraikan semangat kemerdekaan, semangat perpaduan dan semangat kenegaraan. Ia tiada kena mengena dengan pegangan atau ideologi parti politik.

 “Jadi adalah sesuatu yang amat khilaf bagi mana-mana pihak untuk mengajukan tema berbeza bagi sambutan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Fit Malaysia Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan di sini, hari ini.

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari

Adam Adli yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia berkata pihaknya kecewa dengan keputusan pembangkang itu dan tidak sepatutnya berlaku.

Semalam, Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan supaya kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza dengan yang digunakan di peringkat Persekutuan.

— BERNAMA

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment