Home » Hajiji terima kunjungan hormat Menteri Kerja Raya dan pertemuan Ahli Parlimen GRS, Bebas
Berita Tempatan Politik

Hajiji terima kunjungan hormat Menteri Kerja Raya dan pertemuan Ahli Parlimen GRS, Bebas

Hajiji menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sini hari ini.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar di sini hari ini.

Delegasi Alexander terdiri daripada Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Timbalan KSU Datuk Zahrul Hakim Abdullah; dan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool.


Hajiji diberi taklimat mengenai pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya persekutuan dan pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi dalam pembangunan dan pembinaan kemudahan infrastruktur di Sabah.


Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Shahelmey Yahya dan Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Limus Juri dan Datuk Robert Tawiq.


Sementara itu, Sivakumar diiringi oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud dan Timbalan KSU (Dasar dan Antarabangsa) Datuk Amran Ahmad.


Dalam pada itu, Hajiji turut mengadakan pertemuan bersama lima Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan seorang Ahli Parlimen Bebas, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin. Ahli Parlimen lain ialah Datuk Seri Panglima Dr.Jeffrey Kitingan (Keningau), Datuk Jonathan Yasin (Ranau), Datuk Matbali Musah (Sipitang) Lo Su Fui (Tawau).

— TAMAT
 

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment