Home » Kesatuan GRS-PH demi kestabilan: Robert
Berita Tempatan Politik

Kesatuan GRS-PH demi kestabilan: Robert

Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Robert Tawik berkata, keputusan untuk menerima hasrat mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengan GRS buat masa ini perlu diperhalusi bagi mengelak disalah tafsir oleh mana-mana pihak.
Datuk Robert Tawik berkata keseimbangan politik Sabah sekarang sebahagian besar disumbangkan oleh PH setelah krisis politik yang melanda Sabah awal tahun ini, maka kita harus pupuk kesatuan ini demi kestabilan Sabah.

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Robert Tawik (gambar) menyokong kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang menyatakan akan terus bersama dengan Kerajaan Perpaduan termasuk Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah.

Justeru kesepakatan diantara GRS dan PH, kata Robert perlu dipupuk bukan sahaja untuk menghadapi PRN akan datang tetapi juga demi kestabilan politik.


“Keseimbangan politik Sabah sekarang sebahagian besar disumbangkan oleh PH setelah krisis politik yang melanda Sabah awal tahun ini, maka kita harus pupuk kesatuan ini demi kestabilan Sabah, ” katanya.


Mengenai soal Hari Sabah yang akan diadakan pada 31 Ogos ini di Tambunan, Robert menzahirkan perasaan bangga atas kepimpinan kerajaan GRS kerana mengiktiraf ‘Sabah Day’ sebagai sambutan rasmi Kerajaan Sabah.


“Ini merupakan acara yang julung kalinya diadakan di peringkat Negeri dan ini secara tidak langsung menunjukkan kerajaan GRS bersungguh-sungguh dalam melaksanakan hak-hak Sabah, ” katanya selepas mempengerusikan Task Force penganjuran Hari Sabah.

Beliau turut menyeru pemimpin-pemimpin politik terutamanya komponen parti dalam GRS supaya menghormati pendirian Ketua Menteri yang menekan tentang soal hubungan baik antara GRS dan PH demi kestabilan politik Sabah.


“Sabah hanya akan mengecapi kemajuan sekiranya keadaan politik stabil dan semua wakil rakyat dan agensi kerajaan harus bersatu hati memacu Sabah seiring dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), ” katanya.

— Kenneddy Corlleus