Home » Lihat sudut positif kerjasama GRS-PH: Shahril
Berita Tempatan Politik

Lihat sudut positif kerjasama GRS-PH: Shahril

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) .
Shahril berkata apa yang ditekan Ketua Menteri baru-baru ini mengenai pendirian GRS terhadap Kerajaan Perpaduan perlu kita lihat dari sudut yang positif.

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) meminta supaya pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini melihat dari sudut positif serta manfaat yang diperoleh hasil kerjasama GRS dengan Pakatan Harapan (PH).

Sambil menyambut baik kerjasama itu, Shahril menyifatkan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mempunyai pandangan yang jauh ke depan, dengan matlamat utama demi memastikan agenda pembangunan terus dilaksanakan demi manfaat rakyat.


Jelas Shahril kerjasama yang ditekankan Hajiji dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang juga penting bagi menjamin kestabilan politik sekaligus memastikan Sabah terus bergerak ke hadapan seiring hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).


“Apa yang ditekan Ketua Menteri baru-baru ini mengenai pendirian GRS terhadap Kerajaan Perpaduan perlu kita lihat dari sudut yang positif. Ini kerana kerjasama yang ditekankan bukan sekadar untuk politik semata-mata akan tetapi demi memastikan ada kesefahaman yang erat untuk bangunkan Sabah.


“Yang penting kerjasama ini (GRS-PH) boleh diterjemahkan untuk membangunkan Sabah ke tahap yang lebih baik bagi memastikan rakyat mendapat limpahan manfaatnya. Soal PRN biarlah ia diputuskan apabila tiba masanya, akan tetapi untuk masa ini lebih baik fokus kukuhkan kerjasama untuk memacu kemajuan Sabah, ” katanya.

Dalam pada itu, Shahril turut memuji sikap Hajiji yang sentiasa terbuka dengan pendapat pemimpin-pemimpin dalam gabungan, yang diyakini mampu menjadi contoh kepada pelapis terutama pemimpin muda.


Jelas beliau, sikap keterbukaan terutama dalam soal pendapat dalam kalangan pemimpin wajar dipupuk agar ia menjadi contoh kepada pemimpin muda hari ini sekaligus membentuk kepimpinan yang hebat.


Minggu lalu, Ketua Menteri menegaskan kerajaan pimpinannya akan terus bersama Kerajaan Perpaduan termasuk PH dalam menghadapi PRN di Sabah.


Mengulas lanjut Hajiji berkata, isu berkaitan pembahagian Kerusi untuk PRN juga belum dibincangkan memandangkan masih ada tempoh dua tahun lagi untuk Sabah menjalankan pilihan raya.


Beliau turut mengingatkan para pemimpin supaya tidak terlampau berpolitik sana sini dan lebih fokus untuk membangunkan Sabah serta rakyat.

— Kenneddy Corlleus