Home » Sabah rangka Pelan Induk Hutan untuk tempoh 25 tahun – Hajiji
Berita Tempatan Politik

Sabah rangka Pelan Induk Hutan untuk tempoh 25 tahun – Hajiji

MOU: Jeffrey (tengah) mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan wakil rakan kerjasama pemuliharaan hutan yang memeterai MoU itu. Turut kelihatan Ketua Konservator Hutan Datuk Frederick Kugan (empat kiri) dan Diana (dua kiri)

KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Negeri Sabah (SFD) sedang merangka Pelan Induk Hutan 25 tahun bagi seluruh negeri sebagai panduan untuk merintis hala tuju pengurusan sumber hutan jangka panjang di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata,  seiring dengan Dasar Hutan Sabah 2018, usaha yang dilaksanakan ini akan memberi tumpuan bukan sahaja kepada hutan simpan tetapi juga kawasan hutan dalam tanah negeri dan tanah terasing.

Beliau berkata, SFD mengambil pelbagai langkah proaktif untuk melindungi hutan Sabah dan sejak 1997, konsep Pengurusan Hutan Lestari (SFM) turut dilaksanakan sepenuhnya di Sabah.

“Usaha berterusan dalam mewujudkan keseimbangan pembangunan sosio-ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar melalui rasionalisasi penggunaan tanah perlu dilaksanakan secara berterusan, sebagai alternatif penjanaan pendapatan baharu dan mampan untuk Sabah.

“Ini termasuk meneroka pelbagai inisiatif yang boleh menyokong program pemuliharaan hutan melalui penjanaan pendapatan bukan berasaskan kayu (Forest Beyond Timber),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa ‘Heart of Borneo (HoB): An Ecosystem That Provides’ di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor .

Hajiji berkata, kerajaan negeri komited terhadap usaha pemuliharaan sumber asli negeri ini melalui kawasan perlindungan selaras dengan objektif Inisiatif HoB.

“Saya gembira melihat Persidangan Antarabangsa HoB ini dapat menghimpunkan pelbagai individu dan pihak yang berkepentingan dari seluruh dunia untuk bekerjasama dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

“Sejak pengisytiharan Inisiatif HoB dilaksanakan pada 2007, kerajaan negeri melalui SFD berjaya mencapai banyak kemajuan dalam usaha pemuliharaan.

“Lebih 27 peratus daripada keluasan tanah di negeri ini atau kira-kira 2 juta hektar diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA), manakala 75 peratus daripada TPA berkenaan terletak dalam sempadan HoB Sabah,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau berkata,  selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan negeri komited untuk memperluaskan keluasan kawasan TPA kepada 30 peratus keluasan tanah Sabah menjelang 2025.

Selain itu katanya, Sabah juga komited untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meningkatkan tindakan iklim.

Pada masa sama, pihaknya akan terus mempromosikan jalinan kukuh di antara perubahan iklim dan pembangunan mampan sekali gus mengarusperdanakan tindakan berkaitan perubahan iklim ke dalam agenda pembangunan Sabah.

“Sabah turut memfokuskan usaha untuk melaksanakan tindakan mitigasi yang sewajarnya serta tindakan penyesuaian melibatkan semua sektor untuk menyokong Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) sebagaimana yang ditetapkan Malaysia di bawah Perjanjian Paris menjelang 2030.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri menubuhkan Majlis Tindakan Iklim Sabah (SCAC) untuk menetapkan hala tuju dan menyelaras projek berkaitan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim di peringkat negeri.

“Semua usaha pemuliharaan, bermula daripada perlindungan, pemulihan, pengurusan sehinggalah kepada mengarus perdana pemuliharaan hutan serta menitikberatkan perlindungan biodiversiti,” jelasnya.

Hajiji berkata, semua usaha itu memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor dan industri swasta, Institut Pengajian Tinggi (IPT), dan masyarakat setempat.

Menurutnya, penglibatan serta kerjasama pihak-pihak berkenaan adalah penting selain kerjasama dengan rakan kongsi baharu. Sehingga kini, Sabah bekerjasama dengan pelbagai rakan pelaksana melalui 110 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA).

Pada majlis itu, sebanyak enam MoU dimeterai sebagai tambahan dalam senarai rakan pemuliharaan kerajaan negeri.

Ia termasuk KTS Plantation Sdn. Bhd, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary, Kipandi Park, Sawit Kinabalu Sdn Bhd, United Nations Sustainable Development Solutions Network (UN SDSN), dan Yayasan PETRONAS.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) atas sokongan padu terhadap Inisiatif HoB.

Sejak 2009, kira-kira RM48 juta diagihkan kepada Sabah untuk pelaksanaan Inisiatif HoB dan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan Persekutuan menjanjikan peruntukan berjumlah RM13 juta untuk inisiatif berkenaan.

Sempena MoU itu, KTS Plantations Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah KTS Plantations Sdn Bhd Diana Lau Kor Ping.

MoU yang dimeterai KTS dan UMS bagi tempoh tiga tahun bertujuan memperkukuh, mempromosi dan membangunkan penyelidikan jangka panjang, latihan serta kajian akademik berkaitan pengurusan hutan mampan dalam kawasan ‘Segaliud Lokan Forest Reserve’ (FMU19B).

Siti Aisyah Narudin