Home » Jemaah masjid meninggal dunia ketika tahiyat terakhir
Berita Am Berita Dalam Negara

Jemaah masjid meninggal dunia ketika tahiyat terakhir

Tangkap layar yang dimuat naik pengguna TikTok di aplikasi berkenaan pada Selasa. – Foto Sinar Harian

TEMERLOH: Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular memaparkan seorang jemaah lelaki meninggal dunia ketika menunaikan solat Asar di sebuah masjid di daerah ini pada Sabtu.

Rakaman CCTV berdurasi tiga minit empat saat menunjukkan tarikh kejadian berlaku pada 19 Ogos lalu yang dimuat naik seorang individu menggunakan nama Muhammed Lotfi Osman di aplikasi TikTok pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.51 petang itu, lelaki tersebut dilihat seakan-akan terkaku ketika berada dalam keadaan duduk tahiyat akhir.

Beberapa jemaah lain cuba membantu, namun lelaki itu kemudiannya rebah dan difahamkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, perkongsian video tersebut mendapat pelbagai reaksi warganet yang membanjirinya dengan ucapan takziah atas pemergian individu tersebut.

Bagaimanapun, ada juga warganet meluahkan rasa terkilan atas sikap beberapa jemaah yang didakwa lambat memberikan pertolongan kepada lelaki berkenaan.

“Itulah sikap kita zaman sekarang.. tak ambil peduli apa yang jadi di sebelah kita walau sebaris saf,” ujar seorang pengguna, ZamHuda.

Pengguna nama Pahlawan pula berkata, “Kenapa selepas selesai solat, jemaah di sebelah tak datang tengok? Mungkin boleh beri bantuan awal dan diselamatkan. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.”

Sementara itu, seorang individu dikenali sebagai Mat Apit 07 di ruangan komen memberitahu bahawa lelaki itu adalah abang sepupunya.

“Al-Fatihah untuk abang sepupu saya, Rahman namanya, dekat Temerloh, Pahang,” ujar individu terbabit. – Sinar Harian

AWANI