Home » KPM beri keutamaan isu sekolah Sabah, Sarawak
Berita Tempatan Politik

KPM beri keutamaan isu sekolah Sabah, Sarawak

Turut mengiringi Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek meneruskan lawatan kerja di Sabah ke SK Bangau-bangau Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Jamil Hamzah.

SEMPORNA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam memberi keutamaan isu-isu sekolah di Sabah dan Sarawak selaras dengan komitmen Kerajaan Persekutuan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, antara isu yang menjadi perhatian adalah berkait sekolah daif, kanak-kanak tanpa dokumen dan keperluan infrastuktur yang masih banyak perlu dibaiki.

Katanya, banyak lagi perkara yang masih perlu menjadi susul tindak KPM dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk diambil perhatian segera.

“Sebagaimana yang dibangkitkan oleh Dewan Negara dan ditemui semasa lawatan ini adalah perkara-perkara dalam perhatian kita khusus kebajikan pelajar serta pembangunan sekolah.

“Selain itu, terdapat juga permintaan khas daripada guru besar khususnya berkaitan keperluan menambah kelas, membaikpulih makmal dan fasiliti lain,”katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada Program Tindak Susul (PTS) Parlimen Berhubung Akses Pendidikan Kanak-Kanak Warganegara/ Bukan Warganegara Tanpa Dokumen di SK Bangau-Bangau di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 315 buah sekolah daif di Sabah direkodkan dan penyaluran bantuan akan diselaraskan JPN dengan melihat keperluan dan permintaan sekolah.

Fadhlina dalam pada itu berkata, pihaknya juga sedang mengambil beberapa pendekatan bagi mengatasi isu kanak-kanak tanpa dokumen yang salah seorang ibu atau bapa mereka warganegara.

“Kita ada beberapa pendekatan yang sedang dibuat termasuklah menyediakan ruang untuk mereka belajar di sekolah.

“Selain itu, kita juga perkenalkan satu program khas yang dinamakan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK),” katanya.

Sementara itu Pengarah JPN Sabah, Raisin Saidin berharap KPM terus melakukan tindakan susulan berkait segala isu pendidikan di negeri ini.

“Kami akan sentiasa mengambil langkah ‘follow up’ berkaitan perkara yang perlu JPN Sabah laksanakan atau lihat bentuk bantuan sekolah supaya tindakan yang diambil sejajar dengan KPM,”katanya.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Jamil Hamzah.

–Hamzah Sanudin