Home » Kenaikan elaun Ketua Adat, wadah beri perkhidmatan terbaik
Berita Tempatan Politik

Kenaikan elaun Ketua Adat, wadah beri perkhidmatan terbaik

SACOM: Stephen (dua kanan) bersama wakil SACOM termasuk Bendahari SACOM Datuk Dahali Matsin (kiri); Timbalan Pengerusi SACOM Datuk Saidun Kadis (dua kiri); Setiausaha SACOM Edna Mojimbun (tengah); dan Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Dr. Benedick Topin (kanan).

KOTA KINABALU: Semua Ketua Adat di Sabah perlu menjadikan usaha kerajaan menaikkan kadar elaun bulanan sebagai wadah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Mahkamah Anak Negeri Sabah (SACOM) Datuk Stephen Sondoh menyeru seluruh anggota Ketua Adat di Sabah supaya meletakkan fokus kepada intipati pelarasan elaun berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Adat Putatan ini berkata, langkah itu juga selaras dengan aspirasi kerajaan negeri menerusi pelaksanaan konsep Sabah Maju Jaya (SMJ).

Pihaknya merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor atas pengumuman pelarasan elaun serta pengiktirafan Ketua-Ketua Adat di negeri ini.

“Bagi pihak SACOM dan semua 3,963 Ketua Adat di Sabah, pengumuman mengenai perkara ini adalah tepat pada masanya dan amat dinanti-nantikan.

“Terima kasih juga kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam yang membawa dan membentangkan isu kenaikan elaun ini di Kabinet,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau juga merakamkan penghargaan kepada warga kerja Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri dan Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah atas kerjasama dengan pihak SACOM dalam penyediaan kertas kerja pelarasan elaun berkenaan sehingga ia diluluskan.

“Syabas kepada penjawat awam yang secara langsung terlibat dalam usaha ini,” katanya.

Semalam Ketua Menteri mengumumkan seramai 3,963 pemimpin masyarakat (Ketua Adat) di Sabah akan mendapat purata 48 peratus kenaikan elaun bulanan mulai September tahun ini.

Langkah itu sebagai pengiktirafan kedudukan terhormat Ketua Adat dalam masyarakat, termasuk peranan mereka sebagai hakim di Mahkamah Anak Negeri (MAN) dan menampung perbelanjaan ketika menghadiri mesyuarat, kursus dan majlis rasmi di luar daerah.

— Siti Aisyah Narudin