Home » Shahelmey bantu baik pulih rumah daif pesara polis
Berita Tempatan Politik

Shahelmey bantu baik pulih rumah daif pesara polis

PRIHATIN: Shahelmey semasa melawat kediaman pasangan warga emas, turut kelihatan Mohd Yazzer (kanan).

PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya melaksanakan tindakan segera membantu membaik pulih sebuah rumah daif milik pasangan warga emas di Kampung Pasir Putih di sini.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata kerja pembaikan itu termasuklah menukar bumbung dan siling rumah yang sudah rosak dalam tempoh terdekat.

“Selepas mendengar aduan dan melihat sendiri keperitan hidup keluarga ini, pembaikan akan dijalankan bersama pihak Pejabat Daerah Putatan bagi memastikan atap atau bumbung dan juga siling uzur rumah ditukar.

“Kita juga akan berbincang bersama Pejabat Daerah Putatan sekiranya ada kelayakan atau ruang untuk pasangan warga emas ini diberi kuota rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi DUN Tanjung Keramat,” katanya semasa mengunjungi rumah pasangan warga emas itu.

Turut hadir Pegawai Daerah Putatan, Mokhtar Hussin.

Dalam pada itu Shahelmey juga meminta Ketua Kampung atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk sentiasa mengemas kini data penduduk kampung selain memaklumkan kepada pihak berwajib sekiranya terdapat penduduk kampung yang memerlukan perhatian dan bantuan.

“Semestinya antara tugas Ketua Kampung selaku orang bertanggungjawab menjaga kampung mempunyai data penduduk kampung masing-masing. 

“Ketua Kampung seharusnya sentiasa mengemas kini status penduduk samada dalam keadaan sakit, uzur dan sebagainya.

“Data ini juga sepatutnya dikongsi dengan pejabat daerah dan unit pemimpin pembangunan masyarakat di kawasan masing-masing, bagi sebarang tujuan termasuklah penyaluran bantuan yang disediakan kerajaan,” katanya.

Tambahnya agenda utama Kerajaan Perpaduan adalah untuk menghentikan kemiskinan dan Ketua Kampung bertanggungjawab untuk mengemas kini data setempat bagi membolehkan wawasan ini tercapai.

Pasangan suami isteri, Osman Salleh dan Jemilin Dangka kini bukan hanya hidup dalam keadaan serba kekurangan akibat kesulitan hidup dan faktor kesihatan, malah rumah usang yang sudah didiami sejak 43 tahun lalu juga terlalu daif.

Osman yang juga bekas anggota polis dengan jawatan terakhirnya di Cawangan Marin Labuan pada 1975 kini terlantar sakit akibat serangan angin ahmar dan tidak boleh bertutur dengan jelas selain menghadapi masalah jantung dan buah pinggang.

Jemilin berkata empat anak mereka tinggal di kawasan lain dan juga kurang berkemampuan menyebabkan mereka juga tidak dapat membantu dalam urusan membaiki rumah ini.

“Disebabkan keadaan daif, rumah ini akan dimasuki air setiap kali hujan dan kami terpaksa berhujan di dalam. 

“Lebih menyedihkan lagi apabila suami saya sedang makan dan terpaksa makan sambil dibasahi air hujan,” katanya.

Menurutnya mereka tidak tahu dimana untuk meluahkan masalah ini dan kadang kala hanya dibantu jiran yang berkongsi makanan.

“Kami pernah cuba mendapatkan bantuan kebajikan menerusi e-kasih namun tidak mendapat maklumbalas pihak berwajib,” katanya.

Sementara itu Wakil Rangkaian Media Prima Sabah dan Sarawak, Mohd Yazzer Mahmun meninjau sendiri rumah usang ini sebaik mendapat panggilan telefon daripada Jemilin.

Mohd Yazzer berkata sebaik mendapat panggilan telefon semasa hujan lebat, beliau bergegas ke lokasi dan mendapati siling rumah bocor teruk menyebabkan air hujan menitis di lantai rumah. 

“Kami dapat merasakan sendiri kesengsaraan keluarga ini apabila air menitis masuk ke dalam rumah.

“Perkara ini kemudian dipanjangkan kepada pihak berwajib dan syukurlah ia mendapat perhatian untuk tindakan pembaikan,” katanya.

Jemilin turut berterima kasih kepada wakil rakyat yang datang melihat sendiri keadaan rumahnya dan berharap agar tindakan pembaikan dijalankan segera.

Pada masa sama Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja (PPRPD) Kontinjen Sabah turut melakukan lawatan kebajikan dan menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada pasangan ini.

Lawatan kebajikan diketuai Pengerusi PPRPD Kontinjen Sabah Sarjan Mejar (SM) Rozman Abd Latip disertai Exco Latihan dan Kerjaya Koperal Sunarti Akai dan Exco Bekalan dan Aset Koperal Ahmad Sabri Shahlan.

— Vivi Olviana Najurus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment